Bandaraya Seoul beri subsidi untuk beli 700 teksi elektrik

oleh HEZERI SAMSURI|
Majlis bandaraya Seoul akan memberi subsidi bernilai US$15,000 setiap satu untuk 700 pemohon yang mahu membeli teksi elektrik bagi digunakan di ibu negara Korea Selatan itu.

Subsidi itu lebih tinggi dari yang diberikan untuk pembeli kenderaan elektrik (EV) peribadi, iaitu US$10,300.

Tidak cukup dengan itu, ia juga tidak membataskan pembelian itu untuk kenderaan jenama Korea sahaja. 

Sebelum ini, subsidi teksi elektrik hanya diberikan untuk kenderaan-kenderaan dari dua jenama Korea itu sahaja, iaitu model-model Hyundai Kona Electric dan Ioniq Electric atau Kia e-Niro dan e-Soul.

Kali ini, pengusaha teksi elektrik di Seoul boleh memilih dari 19 jenis model kenderaan elektrik dari tujuh pembuat, termasuk Nissan, Jaguar dan semestinya, Tesla.

Majis bandaraya Seoul berkata ia memikirkan akan pengurangan pencemaran udara hasil dari pengguna teksi elektrik yang mempunyai jarak perjalan yang tinggi itu (Hyundai Kona Electric contohnya, mempunyai jarak perjalanan dalam 500 km untuk sekali caj).

 

 

Ini adalah antara tindakan berani dari sebuah kerajaan dan ia bakal memberikan sokongan yang lebih kuat kepada syarikat kenderaan untuk melabur lebih banyak dalam pembangunan kenderaan elektrik.

Namun begitu, kerajaan Korea Selatan juga sedar bahawa kereta-kereta elektrik buatan Korea sudah setanding atau lebih baik dari jenama-jenama Eropah atau Jepun.

"Tidak ada gunanya memberikan keistimewaan kepada kenderaan tempatan sekiranya kualiti tidak memadai kerana ia akan menyebabkan pembaziran wang rakyat," ujar seorang penganalisa kenderaan elektrik tempatan.

"Pembukaan subsidi ini kepada jenama lain memboleh Hyundai dan Kia benar-benar bersaing di platform yang lebih adil kerana tidak ada insentif di pasaran global. Jika kita bergantung kepada insentif sahaja, ia akan menjadikan kita tidak kompetitif dan hanya mampu hidup di bawah perlindungan sahaja," tambahnya.

Hyundai Kona Electric ada dijual di Singapura sementara Hyundai Malaysia memasang model Ioniq Hybrid sahaja di sini.

* Artikel ditulis berdasarkan laporan dari Clean Technica

 

Berita Berkenaan

Berita Global
"Adik" kepada Volvo EX90 ini disasarkan sebagai satu alternatif yang lebih mampu milik kepada model…
Berita Global
Negara gajah putih itu ialah pusat pengeksport kenderaan dan juga komponen automotif yang terbesar…
Berita Global
Menerusi pendekatan terbaharu House of Brands itu, JLR mahu memfokuskan kepada empat jenama utama…