Bandar Amsterdam uji penggunaan bot swalayar

oleh Mohamad Hanif|
Jika di jalan raya, kita sudah ada kereta swapandu dengan beberapa tahap automasi yang tersendiri, jalan air pula bakal mempunyai bot swalayar (boleh berlayar sendiri).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut laporan daripada AP News, Bandar Amsterdam yang terkenal dengan laluan-laluan air diberitakan sedang menguji penggunaan bot-bot autonomi yang menggunakan kuasa elektrik.

Projek Roboat itu dijalankan oleh Amsterdam Institute for Advanced Metropolitan Solutions dan MIT untuk membangunkan solusi penggunaan laluan air tanpa memerlukan bantuan daripada manusia.

Pihak berkuasa Amsterdam percaya teknologi ini sangat relevan terutama di kawasan pelabuhan, di mana ia mampu meningkatkan tahap keselamatan dan lebih efisien berbanding sistem sedia ada.

 


Demonstrasi yang dijalankan baru-baru ini menggunakan sebuah bot elektrik sepanjang 3.96 meter belayar menerusi sistem saluran sepanjang Amsterdam yang penuh dengan bot-bot peribadi serta kapal layar pelancong.

Bot elektrik tersebut mempunyai kelajuan setinggi 6.44 km/j dan mampu beroperasi selama 12 hingga 24 jam bergantung kepada jenis bateri dan muatan kargo yang dibawa.

Dengan menggunakan data daripada kamera dan penderia, sistem komputer berjaya mengesan objek yang statik dan bergerak, serta 'memandu' bot itu menerusi laluan yang sesak.

Rekaan bot yang modular itu juga membolehkan ia ditukarkan peranannya menjadi sebuah bot penumpang atau membawa muatan kargo.

Menurut pembangun, mereka memerlukan masa dua hingga empat tahun untuk menyempurnakan teknologi bot swalayar itu sebelum membolehkannya beroperasi secara sendiri pada masa akan datang.

Sumber: The Star

Berita Berkenaan

Berita Global
Mulai tahun 2020, semua kenderaan diesel berusia lebih 15 tahun akan diharamkan dari jalan utama…