Balik kampung sambut Deepavali, polis cari pemandu Axia lawan arus di km 355.4 PLUS

oleh Mohamad Hanif|
Tindakan seorang lelaki yang memandu melawan arus telah menyebabkan berlaku kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 355.4 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah utara pada Rabu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian yang viral di media sosial itu dipercayai berlaku sekitar jam 4 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu sebuah treler dengan muatan sarung tangan dalam perjalanan dari Klang menghala ke Bidor.

Apabila sampai di lokasi kemalangan, sebuah kereta jenis Perodua Axia disyaki telah memandu melawan arus dari susur keluar Sungkai mengala ke selatan melalui PLUS arah utara.

Sebuah kenderaan jenis Toyota Rush yang berada di lorong kanan arah utara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta itu dan berpusing beberapa kali.

Treler berkenaan yang berada di lorong kiri arah utara juga tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia tersebut.

 


Wan Azharuddin berkata, kemalangan itu hanya menyebabkan pemandu Toyota Rush mengalami luka-luka kecil manakala pemandu treler dan Perodua Axia tidak mengalami kecederaan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia memandu melawan arus sejauh 1.4 kilometer iaitu dari Kilometer 354 arah susur masuk tol Sungkai hingga lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, tangkapan terhadap pemandu Perodua Axia berumur 34 tahun itu tidak dapat dilakukan.

Polis percaya pemandu berkenaan memandu melawan arus untuk mengelak sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungkai.

Dia juga didapati baru selesai membuat ujian swab COVID-19 di Klang tetapi masih belum menerima keputusannya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber: Astro Awani