Balik kampung bawa McLaren, bawa sekali beg jenama McLaren harga RM9K!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Orang kata kereta sport ni jenis kedekut disebabkan pintu ada dua sahaja dan ruangan bagasi yang terhad. Dari segi fizikal memang ada kebenarannya namun jarang pemilik menggunakan kereta sport mereka untuk merentasi negeri dan berjalan jauh.

Pemilik kereta begini kebiasaannya mempunyai beberapa lagi kereta penumpang, MPV atau SUV untuk tujuan tersebut.

Tetapi kalau nak memandu jauh juga dengan kereta sport?
McLaren GT

 

Untuk pelanggan McLaren usah risau kerana syarikat British ini baru sahaja melancarkan koleksi bagasi mewah. Koleksi ini direka untuk model McLaren GT terbaru yang dilancarkan pada pameran Concours d’Elegance, Amerika Syarikat 18 Ogos lalu.

Pertama sekali, McLaren GT bukan model hardcore seperti model lain, ia dibina khusus untuk pelanggan yang mahu memandu jauh atau kegunaan harian dan dibina selesa bagi memenuhi tujuan tersebut. Oleh itu, set bagasi mewah ini memang sesuai untuk pemilik McLaren GT.

Ini bukan sekadar koleksi biasa di mana ia dibangunkan secara bersama oleh bahagian rekaan dan kejuruteraan McLaren dan juga pakar pembuat bagasi Itali. Koleksi ini dibuat berdasarkan spesifikasi muatan McLaren GT untuk simpanan yang sempurna.

 

 McLaren GT Luggage Set

 

Satu keistimewaan McLaren GT ialah ianya model McLaren paling luas dan praktikal dan di antara kereta enjin tengah (mid engine) dua kerusi paing fleksibel pernah dibina. Ruang barang McLaren GT ialah pada but depan dengan rekaan jenis dalam dan di sebalik bonet kaca belakang. 

Set bagasi McLaren GT pula direka dan dibangunkan mengikut standard tinggi McLaren dan terdiri daripada beg pakaian, beg hujung minggu, beg kabin dan beg golf bersaiz penuh. Setiap beg dibuat supaya padan dengan ruang simpanan di dalam kereta ini.

Setiap unit beg dibuat dengan tangan oleh pakar di Itali manakala bahan dan corak sulaman sama seperti McLaren GT. Ada tiga warna yang ditawarkan iaitu Pioneer Black, Luxe Black dan Luxe Porcelain. Kemasan dan perincian set bagasi ini juga mengikut spesifikasi McLaren GT.

 

 McLaren GT

 

Kepada yang berkenan, berikut ialah jenis dan harga set bagasi McLaren GT:

  • Beg kabin 39.6L - £2,800 (RM14,353)
  • Beg golf saiz penuh 66.2-92.1L -  £5,000 (RM25,631)
  • Beg hujung minggu 31.3L - £1,850 (RM9,483)
  • Beg pakaian 39.6L  - £1,700 (RM8,714)

Mereka yang mahukan McLaren GT pula, harga yang ditawarkan bermula dari £163,000 (RM835,578) dengan penghantaran pertama dijangka dibuat hujung tahun ini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
McLaren baharu sahaja menyambut unit penghasilan supercar yang ke-20 ribu minggu lalu dan kini…