Bajaj Pulsar F250, N250 - rekaan baharu, ada paparan posisi gear!

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan ulang tahun yang ke-20 pelancaran model asal Bajaj Pulsar, pengeluar motosikal India itu kini membawakan dua model baharu - F250 yang merupakan motosikal reraup setengah dan jentera naked N250.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara perubahan besar sudah pasti sesaran enjin yang dibekalkan, di mana ia kini menampilkan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan minyak yang mampu menghasilkan 24.5 hp dan 21.5 Nm, dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan dan klac slipper assist.

Sebagai makluman, jentera Pulsar (RS200 dan NS200) yang terdapat di pasaran Malaysia membawakan enjin 200 cc dengan kuasa maksimum 24 hp dan daya kilas 18.6 Nm.
 

F250


Dari segi rekaan, F250 membawakan rupa yang lebih sporti dengan rekaan reraup setengah, unit lampu yang lebih tajam serta lampu nyalaan siang (DRL), cermin penghadang angin dan rekaan cermin sisi yang boleh dilipat.

Sementara model naked N250 pula nyata lebih agresif dengan unit lampu LED dan lampu nyalaan siang DRL sekaan muka robot dari siri Transformers.
 

N250


Pulsar F250 dan N250 masing-masing didatangkan dengan unit lampu belakang yang serupa, bermakna anda sebagai pembeli tidak lagi perlu ke kedai aksesori untuk mencabut dan menggantikan lampu yang tidak begitu senonoh itu seperti yang terdapat pada model RS200.

Antara ciri lain termasuklah belly cowl, unit peredam ekzos yang gagah, sistem brek cakera 300 mm depan, 230 mm belakang yang dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal, sistem suspensi fork teleskopik depan 37 mm dan juga penyerap hentak tunggal di belakang dengan tetapan pra-muatan.
 

Pulsar
sumber gambar: Autocar India


Segala informasi penting boleh dibaca menerusi paparan kluster meter gandingan analog digital seperti putaran enjin, kelajuan dan paparan posisi gear (yaaaa, ini yang kita mahu!), serta slot pengecasan USB.

Harga jualan bermula dari Rs 1.38 lakh (RM7,628) untuk model N250, sehingga Rs 1.40 lakh (RM7,738) untuk model F250.