Bajaj - contoh jaguh kampung jadi juara dunia

oleh HEZERI SAMSURI|

Sebut Bajaj dan senyuman akan terukir di bibir kalangan peminat cerita Hindi atau Tamil.

"Itu kereta roda tiga macam tuk-tuk!" jawab mereka dan memang benar, untuk sekian lama sehingga sekarang, nama Bajaj lebih kepada kenderaan roda tiga ala tuk-tuk Thailand.

Memang benar, Bajaj adalah pembuat kenderaan roda-tiga terbesar di dunia dan produk itu dieksport ke seluruh dunia.

Mereka juga pernah menghasilkan skuter Vespa dahulu tetapi kini Bajaj menumpukan perhatian kepada motosikal  lasak untuk pasaran domestik India dan negara-negara jiran.

boxer

 

Namun menghasilkan produk-produk ringkas itu tidak bermaksud syarikat seperti Bajaj tidak menyimpan cita-cita yang tinggi.

Bajaj Auto mula beroperasi dalam tahun 1945 dengan mengimport kenderaan dua dan tiga roda.

Kemudian, dalam tahun 1959, Bajaj memohon lesen dari kerajaan untuk membina kenderaan-kenderaan tersebut. Antaranya ialah Vespa dan Piaggio Ape, yang menjadi asas kepada syarikat tersebut. Sejak hari itu, Bajaj tidak memandang ke belakang dan terus maju.

bajaj tuktuk

 

Dengan pegangan 21 peratus dari pasaran India yang menjual sebanyak 16 juta motosikal dalam masa setahun, Bajaj mahu melangkah masuk ke dalam dunia pembuatan motosikal global.

Kini, Bajaj menghasilkan 5 juta unit kenderaan setahun dan 43 peratus dari jumlah itu ialah untuk eksport.  Kerana itu, Bajaj mempunyai kuasa kewangan untuk membuat pelaburan yang bijak.

Pada hujung tahun 2007, Bajaj Auto membeli 14.5 peratus saham KTM Power Sports AG. 

Pada awalnya, Bajaj mendapat ilmu untuk membuat enjin-enjin 4-lejang sejukan cecair bagi kapasiti 125 dan 250cc. Bajaj juga diberi hak untuk menjadi pengedar bagi KTM dan di beberapa negara di Asia Tenggara.

Pada bulan Mac 2013, Bajaj sudah memegang sebanyak 48 peratus saham KTM dan diberi kepercayaan untuk menghasilkan jentera-jentera KTM bagi kategori di bawah 500cc.
 

KTM 390

 

Ini termasuk kerja-kerja R&D untuk rekabentuk, kerangka, platform, enjin dan kesemua komponen motosikal KTM.

Tidak lengkap dengan penguasaan motosikal KTM (sub 500cc), Bajaj terus berusaha untuk membuktikan ia setanding dengan nama-nama besar dunia motosikal.

triumph concept
Gambar dari Cycle World

 

Pengalaman menghasilkan motosikal moden KTM dengan kos pengeluaran yang rendah tanpa menggangu kualiti membuahkan hasil kepada Bajaj bila ia akan mula merekabentuk, membuat dan memasang model-model baharu jenama anggun British, Triumph bagi kategori 250cc hingga 650cc.

Bajaj juga menyahut seruan kerajaan India agar membangunkan ekonomi negara mereka dan kerana itu hampir kesemua tenaga kerja Bajaj adalah terdiri dari rakyat India sendiri.

Bajaj kilang

 

Ia mempunyai hampir 8,000 orang pekerja dan 1,200 orang dari itu diletakkan di bawah bahagian penyelidikan atau R&D, bukti bahawa Bajaj memang mahu maju dan faham tanpa kuasa penyelidikan yang baik, mereka akan terus menagih teknologi orang asing.

Pembangunan vendor-vendor juga mendapat sambutan, dengan lebih dari 30 syarikat vendor Bajaj berada di sekeliling kilang-kilang Bajaj di Pune (di Akurdi dan di Chakan), Waluj dan Pantnagar.

Careta difahamkan bahawa bantuan kerajaan yang diterima oleh Bajaj adalah sama seperti kebanyakan syarikat lain di India - tanah untuk kilang, sedikit insentif cukai dan bantuan rakan perdagangan dari luar negara.

Jadi bila anda melihat sebuah tuk-tuk Bajaj di TV anda, ingatlah, syarikat yang membuat jentera itu sudah mula mencabar gergasi-gergasi motosikal dunia yang lain.

Bajaj sudah hebat, bila pula kita di Malaysia ini? 

bajaj logo

 


 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Buat masa sekarang, sistem zon kawasan perumahan yang tidak dikawal menyebabkan tidak ada…
Berita Global
KTM 390 Adventure nampaknya mensasarkan pasaran BMW G310 GS dan kedua-duanya memang dibangunkan dan…
Berita Global
  Pameran Motosikal Istanbul menjadi lokasi pilihan Bajaj untuk mempamerkan varian terbaharu…