Bahagian 2 bersama Tengku Azizan: Bagaimana Proton jadi pakar dalam Ride & Handling

oleh HEZERI SAMSURI|
Dalam bahagian pertama, Careta telah kongsikan sejarah awal Tengku Azizan Tengku Ahmad, salah seorang ikon Proton yang terkenal sebagai bapa Ride & Handling (pengendalian kenderaan) untuk Proton sehingga kontrak beliau ditamatkan oleh Proton Baharu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kali ini, kami kongsikan sejarah bagaimana Proton menjadi pakar di dalam pengendalian kenderaan, seperti yang diceritakan kepada kami oleh Tengku Azizan sendiri.

Menurut Tengku Azizan, sejarah Ride & Handling untuk Proton bermula sebelum syarikat itu membeli Lotus lagi.

"Proton sebenarnya sudah menggunakan khidmat Lotus sebelum ia menjadi anak syarikatnya.

Lotus dibayar untuk menjadi pakar perunding bagi meningkatkan kualiti Ride & Handling Proton dan juga untuk membaiki kadar NVH (Noise, Vibration and Harshness) produknya agar ia terasa lebih selesa dan senyap," terang Tengku Azizan.

"Saya masih ingat, untuk bahagian Ride & Handling, dua jurutera Lotus telah ditugaskan untuk Proton. Untuk NVH, pun ada lagi dua jurutera Lotus yang dikhususkan kepada Proton."

Tengku Azizan memang sudah seronok kerana beliau memang mahu mempelajari seni pengendalian kenderaan tetapi sayangnya projek itu dibatalkan.

"Memang saya frust!" katanya.

Namun begitu, bila Proton membeli 80 peratus saham Lotus bernilai £51 juta pada bulan Oktober, 1996, program Ride & Handling itu diwujudkan kembali.

 

 

"Perdana V6 adalah projek pertama selepas Lotus menjadi sebahagian dari Proton. Walaupun ia pada awalnya mendapat tentangan dari Mitsubishi, tetapi projek kecil itu akhirnya berjaya dan pihak Jepun sendiri terpaksa mengaku ia adalah projek yang bagus," ujar Tengku Azizan, sambil tersenyum kerana memang ia adalah antara projek-projek kebanggaan beliau.

Selepas itu, Mitsubishi memberi kebenaran kepada Proton untuk menghasilkan program Satria GTI, dan Lotus sekali lagi hadir membantu dalam pelbagai segi bagi menghasilkan projek ikonik tersebut.

"Dua orang guru saya dari Lotus ialah Roger Becker dan Steve Swift."

 

 

Roger Becker (gambar atas) ialah pengarah kejuruteraan projek untuk Lotus selama 43 tahun dan beliau bertanggung jawab untuk projek-projek Lotus Elan, Europa, Esprit, Elise dan Evora.

Becker juga adalah pemandu yang memandu Lotus Esprit berwarna putih dalam cerita James Bond The Spy Who Loved Me. Beliau meninggal dunia pada bulan Februari, 2017 dan kekal sebagai jurutera yang bertanggung-jawab kepada pengendalian Lotus yang dikagumi seluruh dunia.

 

lotus esprit

 

Swift pula menghabiskan 17 tahun bersama Lotus dan tugasan terakhir beliau ialah Pengarah Kejuruteraan. Sebelum itu, Swift menjadi Ketua Kejuruteraan Kerangka (chassis) dan antara model-model yang melibatkan kemahiran beliau ialah Lotus Elan, Esprit dan Carlton.

Swift juga banyak terlibat dengan projek-projek luaran di mana Lotus menjadi pakar runding.

"Perkara pertama yang saya belajar ialah Ride & Handling adalah dua benda yang sangat berbeza. Ia umpama Khutub Utara dan Khutub Selatan.

Jika kita hendakkan pengendalian yang mantap, kualiti keselesaan terpaksa dikorbankan. Tetapi Lotus berjaya merapatkan kedua-dua khutub berlawanan itu," sambung Tengku Azizan yang masih kelihatan muda walaupun bakal mencecah 63 tahun.

 

 

"Kepakaran Lotus yang membuatkan Satria GTI masih selesa dipandu, walaupun menggunakan roda aloi 16-inci dengan tayar nipis  205/45 R16," Tengku Azizan berkata.

Ini memang tidak dapat disangkal, dan kepakaran itu disambung oleh jurutera-jurutera tempatan yang menghasilkan Satria Neo yang turut menampilkan ciri-ciri yang sama.

"Apapun, Lotus menegaskan untuk Proton, ia mesti memberi tumpuan kepada stereng dan Ride & Handling kerana ia adalah sebuah kenderaan penumpang. Jadi ia masih perlu mengekalkan keselesaan," sambung Tengku lagi.

"Selepas semua itu dicapai, elemen terakhir Lotus ialah ia mesti seronok dipandu!"

Tidak ada benda yang mudah di dalam dunia ini dan antara masalah yang Tengku Azizan hadapi pada mulanya ialah perkataan yang menerangkan ciri-ciri pengendalian sebuah kenderaan.

 

 

"Lotus sebenarnya mempunyai terminology atau perkataan-perkataan khususnya sendiri bila bercerita tentang pengendalian sebuah kenderaan," Tengku berkata.

Tengku Azizan juga berkongsi bahawa pasukan Proton terus belajar dari Lotus sehingga mereka faham konsep pengendalian yang menjadi rahsia jenama British itu.

"Boleh dikatakan 50 peratus dari projek Satria GTI itu menerima input dari Lotus.

Proton Waja pula adalah projek pertama di bawah kendalian Proton. Lotus masih datang tetapi hanya untuk mengesahkan keputusan projek itu.

Memang antara Proton dan Lotus, ada banyak pemindahan teknologi (TOT atau Transfer of Technology) yang berlaku," sambut Tengku Azizan.

 

 

"Bagi projek Waja, kami menguji lebih dari 100 set-up sebelum berpuas hati dengan pengendaliannya."

Minat Tengku Azizan itu diturunkan kepada jurutera-jurutera dan kakitangan Proton yang terbabit dalam projek-projek seterusnya.

Di bawah ialah antara beberapa petua pengendalian, jawapan kepada soalan-soalan lazim dan juga info lebih lanjut mengenai Tengku Azizan.

1. Gaya pemanduan kegemaran Tengku Azizan bila menguji kenderaan.

a. Slalom - banyak membantu dalam mengetahui bagaimana pengendalian sebuah kenderaan, termasuk kawalan pendikit (throttle control), kadar rewang (yaw), kadar olengan (roll) dan paling penting untuk Tengku Azizan, ia seperti menggelecek bola sepak!

b. Heel & Toe - satu teknik yang semakin tidak digunakan kerana sudah kurang kenderaan datang dengan transmisi manual. 

c. Left-foot braking - Lebih kepada perlumbaan, pakar-pakar pengendalian masih menggunakannya untuk mendapat sedikit cengkaman dari roda hadapan ketika permukaan basah. Tengku Azizan berkata ia perlu dibuat secara "subconscious" agar lebih lancar. Ia juga antara perkara pertama yang diajar oleh pakar-pakar. Namun begitu Tengku berkata Jean Alessi dan Aryton Senna pun tidak menggunakan teknik itu, cuma menurut Tengku, beliau sudah terbiasa menggunakan cara itu agar mengurangkan "understeer". Jika tidak, "trail-braking" sudah memadai.

d. Pendulum/Scandinavian Flick - Antara teknik yang paling digemari oleh Tengku Azizan. "Saya masih melakukannya, cuma tak sedar kerana sudah terlalu biasa!" terangnya. Teknik ialah umpama melibas kereta itu ke arah berlawanan sebelum masuk ke selekoh.

 

 

2. Yang mana lebih bagus? Merasa gerakan kenderaan itu dari tangan (stereng) atau dari punggung (tempat duduk)?

- Menurut Tengku Azizan, antara sebab kenapa pemandu profesional duduk tegak ialah kerana ia mahu keseluruhan punggung bersentuh rapat dengan tempat duduk agar boleh merasakan gerakan atau olengan kenderaan itu sendiri.

3. Apakah definisi pengendalian yang hebat?

- Kereta yang hebat ialah kereta yang menurut kata. Jika kita hendak ke kanan kereta itu ke kanan. Kalau ke kiri, ke kirilah dia. Cuma pesan Tengku Azizan, stereng perlu terasa telus atau "direct" di mana kita boleh rasa keadaan "on centre" atau "off centre".
"Kalau stereng terasa kosong tak bernyawa, maka jiwanya pun kosong!" tegas Tengku.

 

 

4. Apakah musuh utama selekoh?

- Musuh utama kenderaan bila menghadapi selekoh ialah perubahan berat atau "weight transfer". Peralihan berat dari depan ke belakang, kiri ke kanan perlu dikawal dan paling penting, dirasai.

"Kerana itu, kawalan olengan atau "roll-control" itu penting kerana kereta akan terasa lebih mudah untuk mengambil selekoh," terangnya.

Dan Tengku Azizan juga suka bila beliau mengangkat kaki dari pendikit ketika mengambil selekoh, kereta itu kembali masuk ke laluan yang betul.

Ciri-ciri yang sama ini juga dikongsikan oleh Tengku Djan Ley bila penulis berbual dengan pelumba profesional itu.

 

 

5. Kereta yang Tengku suka?

- Tengku sebenarnya sukakan pengendalian Alfa Romeo Alfasud dan minatnya itu dikongsi oleh sifu-nya, Steve Swift.

Satu lagi Alfa Romeo yang diminati oleh Tengku ialah Alfa Romeo 75. Ini ialah model terakhir Alfa Romeo sebelum syarikat itu dibeli oleh Fiat. Model 75 juga adalah model terakhir yang menggunakan pacuan roda belakang (RWD, namun kini disambung semula pada model baharu Giulia).

6. Yang mana penting? Rupa kereta itu atau pengendaliannya?

- Tanpa berfikir, Tengku terus menjawab "pengendalian!".

BACA Bahagian Pertama: Tengku Azizan Tengku Ahmad - Dari Pemain Bola Sepak kepada Bapa Ride & Handling Proton

* Dalam bahagian ketiga dan terakhir nanti, Careta akan kongsikan produk Proton yang paling sering beliau kongsikan dengan penulis bila bercerita tentang pengendalian.

Berita Berkenaan

Informasi
Empat model Proton diberikan kepada Tengku Azizan dan menurut beliau, walaupun ada yang beliau rasa…
Berita Domestik
Sebenarnya, jarang kami dapat menemuramah Tengku Azizan ini kerana ayah kepada dua orang cahaya…