Bagaimana nak bezakan antara GR86, BRZ? Toyota guna kari Jepun!

oleh Mohamad Hanif|
Semua sudah sedia maklum, Toyota GR86 dan Subaru BRZ merupakan dua model yang lahir dari satu pelantar yang sama, dan ia telah pun lama dimulakan sejak generasi pertama 86/BRZ/FR-S lahir pada tahun 2012 lagi.

Kini, generasi kedua GR86 dan BRZ telah pun selesai dilancarkan pada tahun ini, dan sudah pasti Toyota mahukan model GR86 yang dihasilkan bukan sekadar teknologi kejuruteraan bampar semata-mata.

Bersempena dengan Fuji 86 Style with BRZ yang berlangsung di Fuji Speedway pada 21 November yang lalu, para peminat kereta sports pacuan roda belakang itu telah dijemput sendiri bagi merasai perbezaan antara kedua-dua model tersebut.
 

curry


Bukan sahaja perbezaan yang boleh dirasai di belakang stereng, malah perbezaan tersebut boleh dirasai menerusi makanan kari Jepun!

Menu kari Jepun itu dihidangkan atas tray makanan berwarna biru dan merah, di mana kari GR86 dalam tray merah dan kari BRZ dalam tray biru.

Menurut temubual yang dijalankan Response JP terhadap Taiki Kaito (Pemasaran Jenama GR) dan Nozomi Takahashi (Pengiklanan Subaru), idea untuk menghidangkan kari Jepun itu sebenarnya lahir dari kilang produksi GR86 dan BRZ itu sendiri yang terletak di kilang Gunma.
 

curry


Meskipun menggunakan penyediaan bahan yang sama, namun dengan penggunaan bahan perasa yang sedikit berbeza membuatkan kari GR86 mempunyai rasa yang lebih tajam dan pedas, sementara kari BRZ pula sedikit manis dan lebih kaya dengan rasa.

Jika kita lihat pada unit kereta yang sebenar, terdapat beberapa perbezaan antara model GR86 dan BRZ seperti:

  • komponen knucle besi tuang (GR86) vs aluminium (BRZ)
  • sway bar depan solid 18 mm (GR86) vs berongga 18.3 mm (BRZ)
  • sway bar belakang 15 mm dipasang pada subrangka (GR86) vs 14 mm dipasang terus ke casis (BRZ)

 

Subaru Toyota


Malah menurut Toyota, GR86 sebenarnya telah ditala untuk pemanduan yang lebih responsif, dengan ekor yang lebih mudah untuk dibuang keluar - ikut atuknya AE86 - sementara Subaru BRZ pula ditala untuk lebih kestabilan dan keselesaan, dan mempunyai kecenderungan untuk sedikit understeer ketika di selekoh.

Bagi mereka yang mahu menikmati hidangan kari Jepun GR86 vs BRZ ini, anda boleh mendapatkannya di restoran CRANE Garden, Fuji Speedway untuk tempoh yang terhad.

Sumber: Response JP melalui Japanese Nostalgic Cars