Bagaimana Malaysia boleh jadi juara Asia Tenggara?

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru ini, saya terbaca satu artikel yang ditulis oleh Bangkok Post berkaitan cara-cara untuk menjadikan kenderaan elektrik (EV) berjaya di Asean.

Menurut artikel tersebut, Asia Tenggara sangat-sangat memerlukan revolusi pengangkutan kerana pembangunan pesat yang menyebabkan kesesakan lalulintas, kerisauan berkaitan isu pencemaran alam sekitar dan permintaan bahan api yang semakin meningkat.

Isu-isu itu semuanya memang sedang berlaku di Malaysia. 

Kesesakan jalanraya di bandar-bandar besar menyebabkan tekanan emosi rakyat naik mendadak, sehinggakan kita sudah ada kes gaduh di jalanraya sehingga membabitkan kematian.

Permintaan bahan api yang meningkat kerana pertambahan kenderaan di atas jalanraya juga bakal menambah keperitan kita semua kerana mulai tahun hadapan, harga bahan api itu akan mula diapungkan mengikut harga pasaran dunia.

Walaupun pencemaran udara belum lagi dirasai oleh pemimpin-pemimpin kita, namun kita tidak perlu tunggu sehingga Kuala Lumpur mengalami masalah jerubu teruk akibat asap kenderaan. Di kala itu, semuanya sudah terlambat.

 

 

Menurut Bangkok Post, 1.1 peratus dari kenderaan baharu yang dijual di Eropah ialah EV dan jumlah itu dilihat bakal meningkat kepada 28 peratus menjelang tahun 2030 (menurut analisa syarikat Bain & Company).

Di Asia Tenggara, kebanyakan negara anggota sudah mula menambah pelaburan kepada prasarana untuk EV, dan menurut analisa Bain, pelaburan untuk EV bagi rantau ini akan meningkat kepada US$6 bilion menjelang 2030 dan tambahan US$500 juta untuk prasaran stesen caj.

Artikel itu kemudian menerangkan beberapa fakta yang menjadi masalah atau boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan EV di Asean.

 

1. Model-model EV untuk dijual

 

 

  • Kebanyakan syarikat kenderaan di Asean tidak menawarkan model EV kerana permintaan yang rendah.
  • Kebanyakan model-model EV yang baharu disasarkan di pasaran Tesla (US, Eropah dan China), kerana pastinya jumlah jualan lebih tinggi dan mereka mahu mencabar Tesla.
  • Oleh kerana Tesla tidak ada di Asean secara rasmi, pasaran untuk EV juga terlalu kecil untuk pelaburan memperkenalkan model EV terkini.

 

Harga jualan yang tidak menarik

 

 

  • Harga kenderaan EV menjadi lebih tinggi kerana polisi negara-negara seperti Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain yang mengenakan cukai yang tinggi untuk kenderaan import, termasuk EV.
  • Walaupun harga bateri dijangka turun 40 peratus menjelang 2025 dan menjadikan harga EV setanding dengan harga kereta dengan enjin biasa, buat masa sekarang, tidak akan ramai pembeli yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk sebuah EV.

 

Insentif kerajaan

 

  • Untuk kerajaan negara- negara seerpti Norway, US dan China, sudah wujud insentif cukai yang boleh diturunkan kepada pengguna-pengguna EV.
  • Namun begitu di Asean, ia berbeza. Kerajaan Singapura dan Thailand lebih menumpukan kepada pengguna bertukar dari memandu kenderaan sendiri kepada menggunakan khidmat pengangkutan awam.
  • Ada juga negara-negara Asean yang risau kehilangan projek-projek CKD kerana kenderaan EV belum lagi mampu dipasang di negara masing-masing.
  • Thailand juga hanya menumpukan kepada kenderaan hybrid dan Plug In Hybrid (PHEV) yang dipasang di dalam negaranya.
  • Sayang sekali kerana penggunaan kenderaan hybrid dan PHEV akan hanya melambatkan kemahuan pengguna untuk membeli EV.

 

Prasarana stesen caj

 

  • Kos pelaburan untuk membina stesen caj adalah terlalu tinggi berbanding dengan kebaikan yang diterima.
  • Ini menjadikan banyak negara Asean masih perlahan di dalam penyediaan infrastruktur untuk EV, dan oleh kerana itu, perkembangan EV juga akan terbantut.
  • Namun begitu, pemilik kenderaan perdagangan (fleet) mungkin akan meilhat EV ini sebagai satu alternatif yang lebih menjimatkan kos.
  • Di Singapura contohnya, stesen caj boleh dibina oleh pemilik fleet sendiri dan penggunaan EV memberikan penjimatan yang sangat besar dari segi kos operasi (tiada bahan api dan tidak perlu banyak servis).
  • Grab Singapura contohnya menggunakan Hyundai Kona EV sementara pusat caj dibina oleh SP Group.
  • Hasilnya, pemandu Grab dengan Kona EV mampu mendapat pendapatan 1- hingga 20 peratus lebih banyak dalam masa sehari berbanding dengan pemandu yang menggunakan kenderaan enjin biasa.

 

Penggunaan motosikal elektrik

 

  • Asean merupakan pasaran motosikal terbesar di dunia dan pasaran itu dijangka akan berkembang pada kadar 3 peratus setiap tahun sehingga 2030.
  • Motosikal elektrik mampu membantu meringankan beban kerajaan dari segi subsidi bahan api dan kerana tu, Indonesia dan Vietnam dilihat sedang menimbangkan promosi penggunaan skuter dan basikal elektrik.

Analisa Bain juga percaya sekiranya EV dihasilkan menerusi syarikat automotif tempatan, ia mampu membantu meningkatkan penerimaan EV.

Untuk Malaysia, saya yakin Dasar Automotif Baharu (NAP) yang bakal dilancarkan kelak akan mempunyai ciri-ciri mesra EV.

Perkembangan EV memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak. Sebagai pengguna EV, saya tahu ia bukan hanya dari segi teknikal.

Usaha Malaysia Green Technology Corporation (Greentech) untuk menggabung beberapa agensi dan syarikat swasta dalam usaha untuk memasang lebih banyak tempat caj aadalah satu usaha yang baik.

Greentech, walaupun tidak mempunyai dana yang besar, masih mampu mendapatkan kerjasama dari pihak korporat untuk melancarkan lagi perkembangan prasaranan EV negara.

 

 

Kos caj perlu dilihat, dan TNB perlu memberikan harga yang menarik agar lebih ramai yang sanggup memasang stesen caj di rumah masing-masing. Mungkin kadar harga elektrik perlu diturunkan antara jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi.

Persedian minda tidak boleh dilupakan dan patut diberi penumpuan. Penggunaan EV bermaksud anda perlu mengubah cara hidup anda kerana jarak perjalanan kenderaan terbatas.

Walaupun ada EV yang sekarang ini sudah mampu mencapai jarak perjalanan 500 km (lebih dari mencukupi untuk perjalanan seharian di dalam bandar bagi kebanyakan pengguna), namun persepsi kekurangan caj elektrik di dalam bateri (range anxiety) tetap akan ada untuk mereka yang tidak pernah menggunakan EV dan ini akan menakutkan mereka untuk bertukar.

 

 

Menurut Kelab Pemilik Kenderaan EV Malaysia atau MyEVOC (gambar di atas), mereka bersedia untuk berkongsi pengalaman penggunaan EV dengan agensi-agensi kerajaan agar Malaysia lebih bersedia untuk bertukar kepada kenderaan EV.

Saya kira, EV ialah peluang kedua bagi Malaysia untuk menjadi juara di dalam bidang automotif di rantau Asean selepas kita gagal kerana tertinggal dari segi pasaran dan juga jumlah vendor.

Dengan EV, semua negara masih lagi di peringkat pertama. Jika Malaysia serius, kita boleh mengetuai pertukaran paradigma ini agar kita menjadi raja EV di rantau Asia Tenggara.

Cukup-cukuplah dengan mentaliti juara kampung yang terbukti menjadikan kita kurang kompetitif dari segi global. 

 

* Artikel rujukan dari Bangkok Post boleh dibaca di pautan di bawah.

https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/1766584/how-to-make-ev-viable-within-asean

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Menteri Koordinator hal Ehwal Maritim Indonesia, Luhut Pandjaitan bercakap kepada Reuters…
Berita Domestik
Cohesive Mobility Solution (COMOS), sebuah syarikat bumiputra yang berpengkalan di Putra Heights…
Berita Global
Walaupun permintaan untuk EV semakin meningkat di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia…