Baby 2JZ? Toyota Dedah Enjin 4-Silinder Baharu Lebih 600hp!

oleh Qalif Latif|
Toyota kembali menghangatkan dunia enjin prestasi tinggi dengan pendedahan enjin baharu empat silinder yang digelar G20E enjin 2.0 liter turbocharged yang bukan sahaja dikatakan mampu menghasilkan lebih 600hp, malah boleh dibesarkan (bored out) untuk aplikasi lebih ekstrem. Menariknya, enjin ini kini mula digelar sebagai "Baby 2JZ" dalam kalangan komuniti automotif kerana potensi tuning yang tinggi dan ketahanan luar biasa yang diwarisi dari enjin lagenda 2JZ.

Menurut laporan Auto Motor und Sport, jurutera Toyota mengesahkan bahawa enjin G20E ini mampu menghasilkan lebih 600hp dengan hanya menaik taraf turbocharger, menjadikan ia antara enjin 4-silinder paling berkuasa pernah dibangunkan Toyota.

GE20

Toyota turut membangunkan versi 1.5L (dikenali sebagai black top) dan enjin 2.0L ini pula digelar red top. Kedua-duanya dibina sebagai sebahagian strategi “Multipathway” Toyota yang diumumkan bersama Mazda dan Subaru tahun lalu, bagi menjamin kesinambungan teknologi pembakaran dalaman sambil mempercepatkan elektrifikasi.

GE20

Aplikasi Masa Depan: MR2, Celica, GR86 & Pikap?

Toyota tidak menolak kemungkinan enjin ini digunakan untuk model sport hibrid akan datang termasuk kemunculan semula MR2 dengan pacuan pertengahan, digandingkan sistem motor elektrik.

Selain itu, enjin ini dijangka mengisi ruang prestasi dalam Celica baharu dan generasi baharu GR86 menggantikan konfigurasi semasa yang masih menggunakan enjin aspirasi natural. Bahkan, jika diperkukuh dan ditala semula, G20E juga boleh digunakan dalam trak pikap masa depan Toyota.

GE20

Toyota turut menyebut bahawa G20E mungkin akan digunakan dalam model sedan seperti Lexus IS, yang menandakan keupayaan enjin ini merentas segmen dari sport coupe ke sedan mewah.

Tahan Lasak dan Mesra Tuner

Apa yang menjadikan enjin ini istimewa adalah falsafah kejuruteraan “lebih dari cukup”. Jurutera Toyota mendedahkan bahawa jarak antara silinder sengaja direka luas supaya blok enjin ini boleh dibore (besar lubang silinder) untuk meningkatkan sesaran satu ciri yang jarang ditemui pada enjin moden kini.

Ini memberi harapan tinggi kepada peminat tuning yang mahukan lebih kuasa daripada versi standard. Tidak mustahil kelak kita akan melihat enjin G20E dibina semula untuk menghasilkan kuasa melebihi 700 hingga 800hp secara aftermarket sepertimana legenda 2JZ pada era 90-an dahulu.

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Idea Yang Bermula 30 Tahun Lalu     Menurut Toyota, idea pembinaan Shimoyama sebenarnya sudah…
Berita Global
  Pada Mac, media Jepun melaporkan Toyota akan mengurangkan pengeluaran kenderaan bagi pasaran…
Berita Global
Melalui inisiatif GR Heritage Parts yang bermula sejak 2019, pengeluar gergasi Jepun itu telah…