Azroy Hakeem raih kemenangan pertama di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kelas SuperSports 600cc

oleh SALINA JALIL|
Selepas dua musim menanti, akhirnya Azroy Hakeem Anuar mengecap 'kemanisan' dalam kelas SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) apabila meraih kemenangan sulungnya dalam kelas berkenaan, petang tadi di Sepang.

 

Dalam Perlumbaan 1 pusingan pembuka tirai bagi musim 2020 itu, pelumba Boon Siew HONDA Racing Team, Azroy melengkapkan 10 pusingan saingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan catatan keseluruhan terpantas, 21 minit 53.229 saat,  0.059s di depan pencabar rapatnya dari pasukan Yamaha GEN BLU Racing Team, Ahmad Afif Amran. 

 

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan PACHI ZK Racing, Ibrahim Norrodin manakala abangya, Adam yang mendahului di awal saingan terjatuh pada baki terakhir pusingan dan terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan. 

 

Azroy, 21, bagaimanapun harus melalui satu lagi baki perlumbaan esok dengan dirinya mahu menggandakan kemenangannya apatah lagi perlumbaan kali ini berlangsung di laman sendiri. 

 

"Syukur, tahun ketiga dalam kelas ini (meraih kemenangan sulung)," kata Azroy. "Perlumbaan (hari ini) agak sengit dan saya juga bermula daripada petak ketujuh. Dari satu pusingan ke satu pusingan, saya tahu yang catatan masa saya lebih kurang dengan kelompok depan. 

 

"Jadi saya terus mengejar dan nampak Adam terjatuh dan tahu (perlumbaan) akan menjadi perlahan kerana (permukaan) litar tidak begitu mencengkam. Selepas memotong Helmi (rakan sepasukan), saya mengekalkan catatan sepusingan sehingga ke pusingan yang terakhir kerana saya tahu ramai yang boleh melakukan serangan di selekoh terakhir. 

 

"Alhamdulillah, saya dapat kemenangan hari ini dan harap keadaan lebih baik (esok) kerana hari ini tidak mempunyai cengkaman yang baik. Saya juga akan cuba mendapatkan permulaan perlumbaan yang lebih baik daripada tadi dan harap akan dapat mengulangi memori seperti hari ini."

 

Untuk rekod, Azroy menamatkan musim lalu dengan mengumpul 125 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan. Pencapaian terbaiknya bagi musim lalu adalah berada di tempat ketiga di Pusingan 2 Perlumbaan 1 di litar The Bend Motorsport Park, Australia. 

 

 

 

 

Pada musim pertamanya menyertai kelas SuperSports 600cc dua tahun lalu, Azroy menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan dengan 47 mata.

 

Keputusan:

Perlumbaan 1 ASB1000cc

1. Yuki Ito (JPN/Yamaha Racing Team ASEAN) 28:16.971s

2. Apiwath Wongthananon (THA/Yamaha Thailand Racing Team) 28:24.580s

3. Anupab Sarmoon (THA/Yamaha Thailand Racing Team) 28:39.751s

4. Markus Reiterberger (ONEXOX BMW TKKR SAG Team) 28:44.981s

5. Lorenzo Zanetti (Access Plus Racing-Okada-Team) 28:49.555s

6. Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX BMW TKKR SAG Team) 29:00.235s

 

Perlumbaan 1 SuperSports 600cc

1. Azroy Hakeem Anuar (MAS/Boon Siew HONDA Racing Team) 21:53.229s

2. Ahmad Afif Amran (MAS/Yamaha GEN BLU Racing Team) 21:53.288s

3. Ibrahim Norrodin (MAS/PACHI ZK Racing) 21:53.532s

4. Helmi Azman (MAS/Boon Siew HONDA Racing Team) 21:53.608s

5. Soichiro Minamimoto (JPN/Akeno Speed YAMAHA Racing Team) 22:05.142s

 

Perlumbaan 1 AP250cc

1. Md Idlan Haqimi Raduan (MAS/IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) 19:40.866s

2. Aiki Iyoshi (JPN/Motul Manual Tech Racing Team) 19:40.867s

3. Muhammad Izam Ikmal (IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) 19:41.214s

4. Wahyu Nugroho (INA/YAMAHA Racing Indonesia) 19:53.450s

5. Shahrol Syazras Yuzy (MAS/Yuzy Honda Racing) 19:53.506s

 

Perlumbaan 1 UB150cc

1. Wahyu Aji Trilaksana (INA/ONEXOX TKKR SAG Racing Team) 15:36.063s

2. Ahmad Fazrul Sham (MAS/Cardinals Racing Team) 15:36.108s

3. Peerapong Luiboonpeng (THA/Team One For All) 15:36.138s

4. Md Akid Aziz (MAS/UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) 15:36.270s

5. Wawan Wello (INA/SND Factory Racing Rapido) 15:36.370s

 

 

 

Sumber: BH

Add new comment