Awas Angin Lintang!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jika anda perasan, disesetengah bahagian laluan Lebuhraya Utara Selatan terdapat papan tanda angin lintang, merujuk kepada arah angin yang bertiup secara menegak daripada arah perjalanan. 

Pemanduan di dalam keadaan angin lintang sememangnya amat menyukarkan kerana kita terpaksa bekerja dengan lebih kuat melawan daya tolakan angin bagi memastikan hala tuju kereta sentiasa tepat di laluan. 

Untuk sebuah sedan mungkin tiada masalah, akan tetapi sebuah MPV dan SUV yang rata-ratanya mempunyai titik graviti yang lebih tinggi akan lebih mudah terasa kesan akibat tolakan angin tadi. 

Bukan sekadar angin lintang secara semula jadi, bahkan angin lintang juga boleh terhasil secara buatan, seperti keadaan apabila sebuah lori treler melintasi sisi anda dengan laju. 
 

 


Kesan angin lintang tidak begitu ketara bagi pemandu kereta, namun ia merupakan masalah yang sangat besar bagi pemandu-pemandu trak semi dan lori treler. 

Disebabkan kadar keluasan permukaan badan lori yang sangat besar, ditambah pula dengan titik graviti yang sangat tinggi, angin lintang mampu untuk menterbalikkan sebuah lori yang sedang bergerak dengan mudah. 

Berdasarkan rakaman dashcam yang dipaparkan, lori tersebut sedang melalui sebatang jalan dua hala di Texas sebelum nasib malang menimpa pemandu tersebut akibat angin lintang semula jadi. 

Contoh yang ditunjukkan di atas merupakan sebuah trak yang bergerak di dalam kawasan angin lintang, dengan kelajuan angin dianggarkan antara 80-120 km/j. 

 


Jadi, sekiranya anda merasakan bahawa keadaan pemanduan tidak begitu menyenangkan ketika melalui kawasan angin lintang, disarankan supaya memperlahankan pemanduan dan berhenti sekiranya perlu. 

Sesetengah pengeluar kenderaan seperti Mercedes-Benz sudah pun membangunkan ciri penstabilan angin lintang (Crosswinds Stabilization) bagi model seperti S-Class dan GL-Class, bertujuan untuk memberikan bantuan apabila kenderaan dikesan menghadapi keadaan angin lintang semula jadi atau buatan.