Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC empat lejang sejukan cecair, VZR250 ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 25.5 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 21 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan dan klac slipper.

VZR250 menggunakan sistem pancitan bahan api elektronik (EFI) yang mampu menjanjikan penjimatan bahan api, dan lebih cekap tenaga.
Sistem suspensi depan menggunakan fork hadapan jenis teleskopik, sementara bahagian belakang pula menggunakan lengan ayun serta penyerap hentak tunggal.

Sistem brek cakera didatangkan dengan penggunaan angkup empat omboh dan rotor berkembar untuk roda depan, dan dua omboh di bahagian belakang.
Ia turut disokong dengan teknologi sistem brek gandingan (CBS) yang menjanjikan pengagihan daya brek yang seragam untuk kedua-dua roda.
VZR250 didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci, dibaluti tayar 110/70 di depan dan 150/70 di bahagian belakang.

Selain itu, Aveta VZR250 mempunyai kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter, dengan berat badan sekitar 186 kg.
Ditawarkan dalam tiga warna menarik, iaitu Jet Black, Fire Bird Red dan Air Force Blue, harga jualan bermula dari RM14,998.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km yang mana tiba dahulu.