Auto China 2026 - China tunjuk taring, tapi adakah ia akan kekal?

oleh HEZERI SAMSURI|
Pameran automotif Auto China 2026 yang berlangsung di Beijing sekarang ini membuktikan satu perkara - kemajuan teknologi dan perubahan rekabentuk boleh dicapai dalam masa yang singkat.

Kebolehan China untuk belajar dengan pantas memang merunsingkan pemain lama dalam industri tersebut. Pameran automotif kali ini melihat ramai pengunjung dari jenama-jenama lama turun padang untuk “melawat” syarikat-syarikat baharu dari China.

Antara yang mereka dapat lihat ialah:

Elektrifikasi

China menggunakan elektrifikasi untuk melompat jurang teknologi yang wujud.

Dengan kebolehan teknologi elektrifikasi seperti EV dan hibrid, syarikat China tidak lagi bergantung harapan kepada teknologi enjin pembakaran dalaman yang selama ini dipegang oleh pemain-pemain tradisional.

Ungkapan seperti VTEC, DDVT, VANOS dan sebagainya tidak lagi popular dan digantikan dengan terma-terma yang lebih berkait kepada teknologi bateri dan motor elektrik.

Tanpa halangan teknologi enjin, syarikat kenderaa China dengan pantas boleh berdiri sama tinggi atau lebih berbanding dengan syarikat lama yang ada masih lagi bertatih dengan sistem elektrifikasi seperti EV.

Bantuan luar

Suatu ketika dahulu, syarikat automotif mahu kesemua pakar berada di bawah payung syarikat mereka sendiri.

Ini bermakna setiap syarikat perlu ada pakar enjin, pakar transmisi, pakar rekabentuk, pakar sistem gantungan dan sebagainya.

Syarikat-syarikat baharu lebih suka menggunakan tenaga pakar dari syarikat perunding, dan syarikat perunding pula terdiri dari pakar-pakar veteran yang tidak segan untuk membantu dengan bayaran yang lumayan.

Hasilnya kita boleh lihat sendiri, banyak syarikat baharu mampu menghasilkan kenderaan berkualiti, selesa dan sedap dipandu walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman yang banyak.

Tak malu

Syarikat-syarikat legasi dahulu cukup menghormati hak cipta masing-masing. Contohnya, tidak ada syarikat yang mahu meniru rekabentuk syarikat lain secara terang-terangan.

Ini bermakna, jika pembeli mahu sebuah kenderaan dengan gaya bentuk Mercedes-Benz G-Wagon, ia perlu membeli sebuah G-Wagon.

Syarikat baharu tidak ada masalah untuk “meniru” bentuk tersebut, dan dijual dengan harga yang jauh lebih mampu, dengan kualiti dan teknologi terkini.

Ini menjadikan mereka cepat popular dan ada yang beranggapan syarikat-syarikat ini ialah Robin Hood sejati - membenarkan orang biasa merasai kemewahan yang sebelum ini tidak tercapai.

Syarikat lama juga terlalu mahu menjaga legasi masing-masing - contohnya, rekabentuk model legasi hanya boleh dijual dengan harga premium sahaja.

Pemurah

Syarikat baharu dari China dilihat sebagai “pemurah” kerana menawarkan pelbagai ciri-ciri terkini yang sebelum ini hanya boleh didapati di dalam kenderaan yang berharga 10 kali ganda lebih tinggi.

Contohnya, untuk syarikat-syarikat lama, kamera undur belakang yang terang dan baik hanya boleh didapati dalam kenderaan yang premium sahaja.

Untuk syarikat baharu dari China, produk “entry-level” mereka sudah memiliki ciri-ciri yang jauh lebih modern.

Taktik ini mungkin merbahaya kerana ciri-ciri canggih mungkin akan mempunyai kos “wear and tear” yang terlalu tinggi untuk harga jualannya tetapi ini masih belum dibuktikan lagi.

Insentif dari kerajaan China juga membantu mereka untuk menawarkan produk-produk pada harga yang lebih menarik tetapi jika insentif ditarik balik atau bila syarikat semakin besar dan kos pengurusan meningkat, harga produk juga akan terkesan dan terpaksa dinaikkan.

Kitaran yang belum matang

Jenama-jenama baharu masih lagi belum mampu membuktikan kitaran pemilikan yang matang kerana kenderaan mereka masih baharu dan masih di dalam tempoh waranti.

Suasana “honeymoon period” ini digunakan oleh syarikat-syarikat baharu untuk mensasarkan pembeli yang tidak pernah merasai kerugian besar akibat susut nilai.

Ia juga sebenarnya memberikan ruang masa bagi syarikat-syarikat baharu mengukuhkan khidmat lepas jualan mereka agar nilai jual balik mereka lebih stabil.

Risikonya?

Namun begitu, pemain-pemain baharu harus berhati-hati kerana kitaran produk yang terlalu kerap akan menjadikan pembeli cepat muak.

Ini bermakna mereka akan tidak lagi menghiraukan produk-produk akan datang dan terus menggunakan kenderaan mereka selama yang boleh.

Jika pengalaman pemilikan tidak menarik, pembeli juga boleh kembali ke jenama-jenama lama yang sudah terbukti kerana lambat-laun, pembeli akan sedar bahawa kenderaan ialah sebuah alat yang memudahkan hidup mereka, bukan menyusahkan.

Sama-sama kita lihat ke mana hala tuju syarikat-syarikat ini tetapi yang pasti, memang seronok melihat perkembangan yang berlaku sekarang ini!

Berita Berkenaan

Berita Global
ID. Unyx 08 ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula sekitar USD33,300 hingga USD42,000 (…
Berita Global
Selepas membatalkan beberapa projek kenderaan elektrik (EV) termasuk model 0 SUV, 0 Sedan serta…
Berita Global
Polisi yang diumumkan oleh Ministry of Industry and Information Technology China bersama All-China…