Audi tamatkan produksi A1 dan Q2 selepas lebih sedekad, fokus beralih ke model lebih premium

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Audi secara rasmi menamatkan pengeluaran dua model kompaknya, Audi A1 dan Audi Q2, selepas lebih satu dekad berada dalam pasaran global.

Sejak diperkenalkan pada 2010, A1 mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 1,389,658 unit, manakala Q2 yang dilancarkan pada 2016 pula mencapai 887,231 unit sepanjang tempoh produksinya. 

Kedua-dua model itu terbukti popular terutamanya di pasaran Eropah seperti Jerman, United Kingdom dan Itali, bagaimanapun Audi mengesahkan bahawa kedua-dua model itu tidak akan digantikan secara langsung.

Langkah itu selari dengan strategi baharu jenama tersebut yang mahu memberi tumpuan kepada segmen premium yang lebih menguntungkan, sekaligus mengurangkan penawaran kereta kompak yang lebih mampu milik.

Sebagai pengganti tidak langsung, Audi bakal memperkenalkan Audi A2 E-tron, sebuah model elektrik baharu yang dijangka menjadi model paling asas dalam barisan Audi. 

 

2

 

Model itu dibangunkan berasaskan platform Volkswagen ID.3 dan dijangka ditawarkan pada harga bawah £30,000 (sekitar RM180,000), menjadikannya lebih mampu milik dalam konteks EV premium.

Dengan penamatan A1, fasiliti produksi di Martorell, Sepanyol kini akan digunakan untuk menghasilkan barisan EV kompak baharu di bawah Volkswagen Group, termasuk Cupra Raval, Skoda Epiq, Volkswagen ID Polo dan Volkswagen ID Cross. 

Sementara itu, penamatan Q2 pula membuka ruang di kilang Ingolstadt, Jerman untuk pengeluaran A2 E-tron dan kini, model enjin pembakaran dalaman paling kecil dalam barisan Audi hanyalah Audi A3 dan Audi Q3. 

Perubahan itu jelas menunjukkan hala tuju Audi yang semakin menjauh daripada segmen entry-level tradisional, dan bergerak ke arah elektrifikasi serta penawaran produk yang lebih premium dan berteknologi tinggi.

 

Sumber: Autocar

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Reuters bertarikh 5 Mei 2026, Ketua Pegawai Kewangan Audi, Juergen Rittersberger…
Berita Global
Italdesign bukan nama kecil dalam dunia automotif. Studio yang diasaskan Giorgetto Giugiaro itu…
Berita Global
Rekaan Luaran Futuristik Dengan Proporsi Sempurna AUDI E7X mengekalkan bahasa rekaan ekspresif…