Audi SQ8 e-tron, SQ8 Sportback e-tron 2024 rasmi, tiga motor elektrik, 496 hp, 973 Nm, dari RM519,990

oleh Mohamad Hanif|
Audi Malaysia menerusi pengedarnya PHS Automotive Malaysia (PHSAM) terus merancakkan lagi segmen kenderaan elektrik di Malaysia dengan memperkenalkan model terbaharu, SUV SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Kehadiran dua SUV pantas ini dilihat mampu melengkapkan lagi penawaran SUV elektrik Audi untuk pasaran tempatan.

Secara asasnya, kedua-dua SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron didatangkan dengan trenkuasa tiga motor elektrik, satu untuk gandar depan (157 kW) dan dua untuk gandar belakang (setiap satu 138 kW) – EV pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan tetapan sedemikian.
 

SQ8


Secara keseluruhan, SUV ini mampu menjana kuasa setinggi 496 hp dan daya kilas 973 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 114 kWh.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Untuk pengecasan penuh, Audi SQ8 e-tron mampu bergerak sejauh 458 km, sementara Audi SQ8 Sportback e-tron pula sejauh 471 km.
 

SQ8


Audi SQ8 e-tron (dan versi Sportback) menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW, di mana pek bateri boleh dicas (10-80 peratus) dalam masa 31 minit, atau pengecasan AC sehingga 22 kW (pengecasan penuh antara 9.15 jam hingga 11.30 jam).

Dibangun menggunakan pelantar elektronik MEB Evo dan mempunyai nisbah pengagihan berat badan hampir 50:50, SQ8 e-tron turut dibekalkan dengan sistem suspensi udara sport, dengan kawalan peredam untuk gandar depan dan belakang yang boleh berubah mengikut keadaan jalan.

Aspek ketinggian juga boleh diubah, di mana SQ8 ini boleh direndahkan sebanyak 26 mm untuk manfaat kestabilan dan aerodinamik, atau ditinggikan antara 35 mm hingga 50 mm apabila melalui jalan yang tidak rata (dan mod Offroad diaktifkan).
 

SQ8


Sebagai sebuah model yang lebih sporti, Audi melengkapkan ruang kabin SQ8 dengan ciri seperti tempat duduk sport balutan kulit Valcona, sulaman logo S, kemasan karbon dan aluminium, pakej pencahayaan ambien, serta sistem kawalan iklim empat zon lengkap dengan fungsi pengion udara.

Audi Virtual Cockpit menawarkan tetapan tiga skrin berasingan, diikuti dengan skrin paparan head-up yang dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan, sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto serta tidak ketinggalan sistem audio premium Bang & Olufsen 3D 705 watt dengan 16 pembesar suara.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, cagak ISOFIX, sistem pemantauan tekanan tayar, dan pakej Park Assist.
 

SQ8


Sementara ciri keselamatan aktif yang tersedia seperti kawalan jelajah adaptif, amaran keluar lorong, kawalan lencongan, bantuan membelok serta bantuan pengelakan lintasan trafik depan dan belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Audi SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron boleh didapati dalam pilihan warna seperti Magnet Gray, Ultra Blue, Chronos Gray, Mythos Black, Plasma Blue, Daytona Gray dan Glacier White.

Harga jualan bermula dari RM519,990 untuk Audi SQ8 e-tron, sementara Audi SQ8 Sportback e-tron pula dijual pada harga bermula dari RM529,990.
 

SQ8


Kedua-dua model boleh dilengkapi dengan pakej opsyen Audi Assurance Package (AAP) yang melanjutkan tempoh jaminan kepada lima tahun, diikuti pakej penyelenggaraan berkala percuma untuk tiga tahun pertama, dan bantuan tepi jalan percuma untuk lima tahun pertama.

Audi Malaysia turut menawarkan jaminan berasingan untuk sistem bateri selama lapan tahun atau jarak perbatuan 160,000 km, tertakluk kepada syarat.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula itu melibatkan 2,297 unit kenderaan, terdiri daripada model Audi Q5, A5 Cabriolet…
Berita Domestik
Kedua-dua kempen yang akan berakhir pada 31 Disember ini menawarkan penjimatan sehingga RM93,000…
Telah Diuji
Atau lebih tepat lagi, SUV elektrik Audi Q8 e-tron 2023. Jika anda mengikut rapat perkembangan…