Audi Skysphere - grand tourer EV, sistem swapandu Tahap 4, jarak wheelbase boleh diubah

oleh Mohamad Hanif|
Menerusi Project Artemis, Audi membawakan tiga buah model konsep yang memperlihatkan gambaran kereta produksi yang bakal ditawarkan pada masa hadapan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Model pertama yang diperlihatkan secara rasmi merupakan Audi Skysphere Concept - sebuah model dua tempat duduk dengan fungsi dua dalam satu yang mampu berubah menjadi sebuah roadster atau grand tour mewah.

Audi Skysphere ini diinspirasikan daripada model roadster Horch 853 yang wujud pada era 1930-an dengan rekaan pintu engsel belakang, dan membawakan elemen moden Audi seperti gril rangka tunggal yang disulami dengan pencahayaan LED, rekaan bonet yang panjang, serta rekaan fender yang agak berisi.

 


Rim bersaiz 23 inci itu mendapat inspirasi daripada roda berjejari halus yang wujud suatu ketika dahulu, namun dengan aspek aerodinamik yang dipertingkat serta berupaya menyediakan penyejukan yang mencukupi untuk sistem brek regeneratif.

Sementara rekaan dek belakang pula didatangkan dengan struktur kaca yang melindungi ruang kargo, serta gugusan lampu LED rekaan cekung pada bahagian bawah kaca itu tadi.

Salah satu ciri yang menarik pada Audi Skysphere adalah keupayaan untuk mengubah jarak antara roda depan dan belakang sehingga 250 mm bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih.

Sekiranya mod pemanduan Sport dipilih, Skysphere membawakan ukuran sepanjang 4.94 meter, dan ukuran tersebut bertambah kepada 5.19 meter di dalam mod pemanduan GT di mana bonet hadapan akan bergerak dengan memperlihatkan elemen dekoratif pada bahagian fender sisi.
 


Dari segi kuasa, Audi Skysphere Concept ini dijana oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang menghasilkan 624 hp dan 750 Nm, membolehkanpecutan 0-100 km/j dalam masa 4 saat sahaja.

Pek bateri berkapasiti sekurang-kurangnya 80 kWh yang diposisikan di belakang kabin membolehkan pemanduan sejauh 500 km (data WLTP), dan disebabkan itu 60 peratus daripada berat keseluruhan (1,800 kg) duduknya di atas gandar belakang.

Sistem gantungan double-wishbone dengan penyerap hentakan udara adaptif membolehkan ketinggian asal Skysphere direndahkan sehingga 10 mm untuk mengubah karakteristik pengendalian, selain dibantu oleh stereng gandar belakang dan sistem steer-by-wire yang boleh disesuaikan.

 


Audi Skysphere menawarkan sistem pemanduan autonomi tahap keempat (SAE Level 4) yang boleh diakses dalam mod GT, di mana tiada roda stereng dan pedal akan dibekalkan, dan ruang kabin yang lebih luas terima kasih kepada konfigurasi wheelbase yang boleh dipanjangkan itu tadi.

Namun, jika anda mahukan pemanduan yang sporti, tukar sahaja kepada mod Sport, di mana jarak antara roda akan dipendekkan, dan roda stereng serta pedal akan muncul untuk kegunaan pemandu.

Ruang kabin Skysphere ini diinspirasikan oleh Art Deco dengan penggunaan bahan yang lestari seperti fabrik mikrofiber, kulit sintetik serta kayu eucaluptus.

 


Setakat ini, Audi Skysphere tidak akan ditukarkan menjadi sebuah kereta produksi sebenar, ia akan kekal sebagai sebuah konsep kajian.

Namun menurut Audi, beberapa teknologi seperti pemanduan autonomi Tahap Keempat bakal ditawarkan kepada kereta produksi seawal separuh kedua dekad ini.

Selain daripada Audi Skysphere, terdapat dua buah model konsep yang bakal diperkenalkan dalam masa terdekat, iaitu Audi Grandsphere (sedan) menjelang akhir 2021 dan Audi Urbansphere (SUV) pada tahun 2022.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Audi Activesphere Concept membawakan reka bentuk sedan coupe empat pintu dengan jarak kelegaan…
Berita Global
Rekaan Urbansphere juga sebenarnya lahir daripada studio rekaan Audi yang terletak di Beijing.…