Audi RS3 Sportback, Sedan 2022 dilancarkan - 401 hp/500 Nm, 0-100 dalam 3.8 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa gambar teaser didedahkan, Audi akhirnya secara rasmi melancarkan dua buah model RS iaitu RS3 Sportback dan RS3 Sedan 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Seperti yang diumumkan sebelum ini, kedua-dua model RS3 tersebut dikuasakan oleh enjin lima silinder sebaris 2.5 liter TFSI yang menghasilkan kuasa setinggi 401 hp dan 500 Nm, serta padanan transmisi klac berkembar S-Tronic tujuh nisbah kelajuan.

Menurut Audi, pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa kira-kira 3.8 saat, atau 0.1 saat lebih pantas berbanding pesaing AMG A 45 S, dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j, atau 290 km/j sekiranya dilengkapi dengan pakej RS Dynamic.

 


Generasi baharu RS3 ini didatangkan dengan ciri RS Torque Splitter yang menggantikan differential gandar belakang pada generasi terdahulu yang membenarkan kawalan aktif daya kilas, serta mengurangkan kesan understeer, meningkatkan kelincahan serta lebih pantas ketika mengambil selekoh.

Terdapat juga ciri baharu RS Torque Rear atau lebih dikenali sebagai mod drift yang dikhususkan untuk pemanduan di litar.

Ia merupakan tambahan kepada mod pemanduan yang ada pada Audi RS3 seperti Comfort, Auto, Dynamic RS Individual dan Efficiency, serta RS Performance.

 


Jika dibandingkan dengan model S3, Audi RS3 duduk lebih rendah 10 mm di mana  sistem suspensi sports RS terdiri daripada double wishbone di hadapan dan gandar four-link di bahagian belakang, serta penyerap hentak baharu, bearing yang lebih keras dan sistem injap untuk respons yang lebih cepat.

Namun, pembeli boleh mendapatkan sistem suspensi sport RS opsyen yang terdiri daripada teknologi peredam hentakan adaptif yang mampu mengubah tetapan berdasarkan mod pemanduan yang dipilih, serta sistem kawalan dinamik kenderaan modular (mVDC) yang menyegerakkan fungsi torque splitter, peredam adaptif, dan kawalan daya kilas untuk kawalan dan pengendalian yang lebih tepat.

Sistem pemberhentian untuk model asas RS3 terdiri daripada angkup enam omboh dan rotor berliang 375 mm, serta rotor 310 mm di bahagian belakang dengan sistem penyejukan yang dipertingkatkan, dan mempunyai berat keseluruhan 10 kg lebih ringan berbanding generasi terdahulu.

Terdapat juga opsyen untuk memasang sistem brek jenis seramik dengan rotor bersaiz 380 mm dengan angkup brek yang boleh dilayangkan dalam warna menarik seperti kelabu, merah atau biru.

 


Audi RS3 Sportback dan Sedan menampilkan rekaan luaran yang lebih agresif jika dibandingkan dengan model S3 yang diperlihatkan sebelum ini, dengan liang kemasukan udara yang lebih besar, gril rangka tunggal serta jeriji baharu berbentuk sarang lebah.

Salah satu ciri unik yang ada pada kedua-dua model ini adalah unit lampu LED dengan grafik bendera garis penamat (chequred-flag) diikuti dengan fender hadapan yang lebih lebar yang menampilkan bukaan liang udara di bahagian belakang roda hadapan.

Buat pertama kalinya, kedua-dua model RS 3 ini didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R.

Sementara sistem perpaipan RS Sport Exhaust System pula menampilkan kawalan kepak boleh ubah bagi menghasilkan not ekzos yang lebih mengasyikkan.

 


Ruang kabin RS3 pula mendapat kelengkapan bercirikan prestasi seperti roda stereng RS Sport balutan kulit dan Alcantara, butang fungsi RS Mode, paddle shifter zink tuang, serta tempat duduk sport RS dengan balutan kulit Nappa (opsyen).

Sebagai sebuah kereta pantas, Audi mendatangkan paparan grafik khas RS pada skrin kokpit Audi Virtual bersaiz 12.3 inci yang memaparkan data seperti daya G, masa pusingan, masa pecutan, serta indikasi lampu penukaran gear pada paparan head-up.

Sementara skrin tengah 10.1 inci pula mempunyai fungsi RS Monitor yang memaparkan informasi berguna seperti suhu bendalir penyejuk, suhu enjin, suhu minyak transmisi, serta pemantauan tekanan tayar.

 


Harga jualan untuk RS3 Sportback bermula dari €60,000 (RM298,406) atau  €62,000 (RM308,352) untuk varian RS3 Sedan.