Model ini dibangunkan sebagai penghormatan kepada enjin 2.5 liter TFSI lima silinder yang telah menjadi identiti kepada barisan model prestasi Audi selama beberapa dekad.
Sebanyak 750 unit sahaja akan dihasilkan di seluruh dunia, terdiri daripada 585 unit versi Sportback dan 165 unit sedan.
Angka prestasi kekal sama seperti RS3 standard, dikuasakan enjin 2.5 liter TFSI turbo lima silinder yang menghasilkan 400 HP dan 500 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dengan kelajuan tertinggi 290 km/j.
Walaupun angka kuasa kekal sama, Audi memberi fokus kepada peningkatan pengalaman pemanduan serta karakter bunyi enjin yang lebih agresif.
Antara perubahan utama ialah pengurangan bahan penebat bunyi pada bahagian firewall antara enjin dan kabin, sekitar 4 kilogram bahan penebat telah dibuang bagi membolehkan bunyi unik enjin lima silinder sampai dengan lebih jelas kepada pemandu dan penumpang.
Sistem RS sport exhaust juga ditala semula, dengan injap ekzos dibuka lebih awal dalam mod pemanduan Dynamic, RS Performance dan RS Torque Rear bagi menghasilkan bunyi yang lebih agresif.
Dari segi pengendalian, buat pertama kalinya RS3 dilengkapi suspensi coilover yang dibangunkan khas oleh Audi, sistem itu menawarkan pelarasan tiga hala melibatkan mampatan kelajuan tinggi, mampatan kelajuan rendah serta rebound.
Ketinggian kereta juga 10 mm lebih rendah berbanding RS3 standard, dan Audi turut menyediakan tetapan asas dari kilang bersama kit alat untuk pemilik yang mahu melaras suspensi sendiri.
Pengendalian turut dipertingkatkan melalui anti-roll bar belakang yang lebih tebal dan tegar, selain kadar spring belakang yang lebih tinggi.
RS3 edisi khas itu turut dilengkapi brek karbon seramik dengan kaliper merah, manakala tayar Pirelli P Zero Trofeo R semi-slick ditawarkan sebagai pilihan bagi mereka yang mahukan tahap cengkaman maksimum di litar.
Dari segi rekaan luaran, RS3 Competition Limited tampil lebih agresif dengan penggunaan gentian karbon matte pada pelbagai komponen seperti splitter hadapan, flic pada bampar, skirt sisi, diffuser serta spoiler bumbung.
Ia turut dipadankan dengan rim forged 19 inci eksklusif berwarna matte Neodymium Gold.
Pilihan warna badan juga cukup menarik termasuk Daytona Gray, Glacier White matte serta warna eksklusif Malachite Green, yang diinspirasikan daripada model klasik Audi Sport Quattro.
Audi turut menambah sentuhan unik pada lampu Matrix LED DRL, yang akan menyala mengikut urutan pencucuhan enjin lima silinder mereka (1-2-4-5-3) setiap kali kereta dikunci atau dibuka.
Di bahagian kabin, model edisi khas itu dilengkapi RS bucket seat gentian karbon dan kemasan mikro gentian Dinamica berwarna neodymium-gold.
Paparan kluster digital juga menampilkan latar putih, diinspirasikan daripada meter analog pada model legenda Audi RS2 Avant, sebagai model edisi terhad, setiap unit turut menerima tag nombor siri di konsol tengah.
Dari segi harga, RS3 Competition Limited bermula pada €100,680 (sekitar RM510,000) untuk varian Sportback di Jerman, manakala versi sedan bermula €102,680 (sekitar RM520,000) sebelum cukai dan kos lain.
Harga tersebut kira-kira €44,000 (RM201,375) lebih mahal berbanding RS3 standard, namun setiap unit hadir dengan spesifikasi penuh dari kilang.
Dengan peralihan industri automotif ke arah elektrifikasi serta peraturan emisi yang semakin ketat, model ini mungkin menjadi antara kemuncak terakhir bagi enjin lima silinder Audi dalam bentuk tradisionalnya.
Bagi peminat Audi, RS3 Competition Limited boleh dianggap sebagai satu penghormatan terakhir kepada salah satu enjin paling ikonik dalam dunia automotif moden.