Audi RS Q8 performance dan RS Q8 2025, mahu 640 ps atau 600 ps? 850 atau 800Nm?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Audi RS Q8 performance
Audi RS Q8 performance
Nampaknya Careta semakin cenderung melaporkan mengenai Audi. Adakah kami dibayar? Tidak dan Audi mempunyai tarikan istimewa melalui model RS.

Bukan sahaja RS e-tron GT atau RS 3, Audi mempunyai kenderaan utliti sukan (SUV) yang diberi jenama RS Q8 dan berada di pasaran sejak 2020.

Selepas model rupa baharu (facelift) diperkenal pada September 2023 kini tiba giliran RS Q8 dan Audi menghadiahkan satu bonus melalui RS Q8 performance.

Kuasa 640 ps meletakkan RS Q8 performance sebagai model dengan enjin pembakaran (ICE) paling berkuasa dalam sejarah Audi Sport GmbH.
Audi RS Q8 2025
Audi RS Q8 2025

 

Jika diletakkan RS Q8 di sebelah RS e-tron GT, kedua-duanya menggunakan gaya bampar sama.

Kecuali RS e-tron GT yang memerlukan ruang depan tertutup untuk aliran angin, bukaan jeriji sarang lebah RS Q8 dibuat besar.

Bilah sisi bampar RS Q8 dibuat dalam warna hitam kilat dan kelabu kusam untuk RS Q8 performance.

Bampar belakang meneruskan gaya sarang lebah dan dua muncung ekzos bentuk bujur menjadi tanda model RS. Nyalaan lampu belakang juga menarik.

Audi RS Q8 performance 2025
Audi RS Q8 performance 2025

 

Enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar menghasilkan 600 ps dan daya kilas 800Nm dari 2,200 sehingga 4,500 rpm.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.8 saat (sila beritahu kenapa kami tidak jatuh cinta). Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.

RS Q8 performance lebih istimewa dengan kuasa ditingkatkan kepada 640 ps dan 850Nm. 

Pecutan lebih tangkas dan hanya perlu 3.6 saat dan boleh dipecut sehingga 280 km/j dan seperti yang dinyatakan siri ICE paling berkuasa di dalam barisan produk Audi Sport GmbH.

Audi RS Q8 performance 2025

 

Dengan mengurangkan tekanan belakang, ekzos sport RS yang baru dibangunkan dan lebih ringan memberi tonik kepada prestasi RS Q8 performance selain nada lebih garang.

Kedua-dua RS Q8 menggunakan pacuan semua roda kekal quattro dan kotak gear tipronic lapan kelajuan dengan tukaran gear lebih pantas.

Pembeza tengah jenis mekanikal yang ringan dan kompak membahagikan kuasa enjin kepada gandar depan dan belakang dengan nisbah 40:60.

Jika gelinciran berlaku, tidak lebih daripada 70 peratus daya kilas pacuan dihantar ke depan dan sehingga 80 peratus ke gandar belakang.

 

Audi RS Q8 performance 2025

 

Pembahagian tersebut menyumbang kepada selekoh yang lebih jitu, kurang pembelokan kurang (understeer) dan pembelokan lebih tepat.

Untuk keseimbangan di antara sporti dan selesa, kedua-dua SUV dilengkapi ampaian udara boleh suai dengan redaman terkawal dan ditala khas untuk RS.

Turut dilengkapi penstabilan olengan elektromekanikal aktif (eAWS) yang mengurangkan pergerakan sisi badan kereta secara ketara.

Kedua-dua gandar dihubungkan dengan motor elektrik kompak di antara separuh bahagian penstabil.

 

Audi RS Q8 2025
Audi RS Q8 2025

 

Semasa memandu di laluan lurus, kedua-dua bahagian diputuskan dan mengurangkan pergerakan badan ketika melalui jalan yang tidak sama rata.

Apabila membelok, motor elektrik menukar penstabil ke arah berlawanan di antara satu sama lain dan mengurangkan kecondongan sisi. 

Bateri litium-ion 48V membekal kuasa kepada eAWS. 

Ciri-ciri dan perbezaan Audi RS Q8 performance dan RS Q8

Perkakasan badan

  • RS Q8 performance: Perumah cermin sisi, sebahagian bampar depan dan peresap belakang karbon kusam, peresap kelabu kusam, perkakasan lain hitam kilat
  • RS Q8: Hitam kilat 

Rim

  • Rim aloi 22 inci 10 bilah dengan tayar 295/40
  • Pilihan rim 23 inci dengan tayar 295/35
  • Rim 23 inci khusus untuk RS Q8 performance dengan teknik pembuatan khas. 20 kg lebih ringan daripada rim standard 22 inci dan membantu dalam tindak balas pendikit.

Brek

  • Cakera brek komposit, 420 mm di depan dan 370 mm di belakang
  • Angkup brek depan 10 omboh
  • Pilihan warna merah
  • Brek seramik RS, 440 mm di depan dan 370 mm di belakang

Dalaman

  • Pakej Merah, kelabu atau biru RS
  • Biru khusus untuk RS Q8 performance dan pilihan riasan diagonal brushed black aluminium
  • Indikator penukaran gear pada skrin 12.3 inci untuk RS Q8 performance 
  • Nyalaan LED pada permukaan jalan untuk RS Q8 performance 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Audi RS Q8 performance 2025