AUDI RS 4 Avant Bronze Edition, wagon 450PS dan 600Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Wagon adalah untuk pelanggan tertentu manakala wagon berkuasa tinggi pula khusus untuk pelanggan luar biasa. Di luar sana ada banyak sedan berkuasa tinggi namun satu perkara yang tiada ialah ruang bagasi lebih luas dan praktikaliti.

Audi tidak pernah lupa dengan wagon dan sentiasa ada varian berkuasa tinggi. Ini contohnya, RS 4 Avant Bronze Edition yang hanya dikeluarkan sebanyak 25 unit sahaja untuk pasaran United Kingdom.

Di peringkat asas lagi RS 4 Avant Bronze Edition ini telah menyerlah, warna Vesuvius Grey dan kemasan hitam dan roda 20 inci warna gangsa benar-benar menaikkan imejnya yang 'jahat'.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
AUDI RS 4 Avant Bronze Edition

 

Wagon ini sebenarnya nampak sarat, bahagian depan dilengkapi lip spoiler dengan efek gentian kusam, bumbung dipasangkan rel dan bahagian belakang mantap dengan diffuser gentian kusam. 

Segala-galanya nampak gelap pada wagon ini dengan warna hitam dan berkilat dan riasan gentian karbon. 

Bahagian dalam pula dibawakan tema warna gangsa kepada sulaman kerusi dan dikontrakan dengan balutan kulit hitam Nappa pada kerusi sporti. Turut menghiasi ialah perincian gentian kusam.

Sistem hiburan pula disajikan dari set audio Bang & Olufsen dengan output 755 watt melalui 19 pembesar suara. Selain itu paparan sesentuh MMI berukuran 10.1. 

Untuk kuasa, nadi utama wagon ini ialah 2.9L TFSI V6 turbo berkembar dengan output 450PS dan tork 600Nm. Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 4.1 saat manakala kelajuan maksimum ialah 249 km/j.

Menghantar kuasa tinggi ke jalan raya ialah sistem pacuan semua roda quattro melalui transmisi tipronic lapan kelajuan.

 

AUDI RS 4 Avant Bronze Edition

 

Pada pemanduan biasa, sistem itu menghantar 60 peratus tujahan (tork) ke gandar belakang dan 40 peratus ke roda depan.

Dalam keadaaan memerlukan, nisbah itu diubah sehingga 70 peratus ke bahagian depan atau sehingga 85 peratus ke bahagian belakang.

Pakej yang diberikan pada wagon ini ibarat kereta berprestasi yang menyamar sebagai sebuah kereta praktikal. 

Berapakah harga 'raksasa' ini di UK? Dari GBP82,395 atau RM444,109 dan varian RS 4 tidak pernah murah. Ia kereta penumpang luar biasa.

Penulis: Muhammad Md Tajudin