Livery dan Warna Ikonik
Rekaan livery konsep ini menampilkan kombinasi warna titanium, hitam karbon dan merah Audi yang digabungkan bersama logo empat cincin ikonik di bahagian sayap belakang. Audi menyatakan matlamat mereka adalah untuk menghasilkan “kereta paling menonjol di atas litar” apabila jentera sebenar diperkenalkan pada Januari 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, “Motorsport sudah menjadi DNA Audi. Kami menyertai Formula 1 bukan sekadar untuk hadir, tetapi untuk menang. F1 akan menjadi pemangkin kepada transformasi Audi yang lebih ringan, pantas dan inovatif.”

Persediaan dan Infrastruktur
Selepas mengumumkan komitmen untuk menyertai F1 pada tahun 2022, Audi telah membangunkan kemudahan Power Unit baharu di Neuberg, Jerman, sambil memperkukuh operasi Sauber di Hinwil, Switzerland, pasukan yang kini akan menjadi jentera rasmi Audi F1 Team. Selain itu, sebuah pusat teknologi juga sedang dibina di Bicester, United Kingdom untuk memanfaatkan kepakaran “Motorsport Valley” UK.


Pasukan dan Pemandu
Dua pelumba sedia ada Sauber, Nico Hülkenberg dan Gabriel Bortoleto, akan kekal dalam barisan pemandu Audi menjelang musim 2026. Hülkenberg, yang memperoleh podium pertamanya di Silverstone tahun ini, menyifatkan suasana dalam pasukan kini sangat positif dan penuh semangat. Sementara itu, Bortoleto mengakui penyertaannya dalam projek Audi F1 sebagai “impian yang menjadi kenyataan”, malah menganggap idola utamanya Ayrton Senna sebagai inspirasi besar.

Kepimpinan dan Visi Jangka Panjang
Projek ini diterajui oleh bekas Ketua Pasukan Ferrari, Mattia Binotto, yang membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam Formula 1. Beliau menyatakan matlamat jangka panjang Audi ialah berjuang merebut kejuaraan dunia menjelang 2030.

“Audi F1 Project adalah antara projek paling menarik dalam dunia sukan. Formula 1 bukan sekadar perlumbaan, ia adalah perjalanan menuju kejayaan. Untuk menjadi juara, ia memerlukan masa, manusia yang betul dan pemikiran berasaskan penambahbaikan berterusan,” kata Binotto.
Sementara itu, Jonathan Wheatley, bekas pengarah sukan Red Bull yang kini mengetuai operasi Audi, menegaskan kejayaan pasukan tidak bergantung pada magik tetapi pada pasukan yang percaya antara satu sama lain. “Nico dan Gabi mencerminkan semangat itu. Mereka berlumba dengan semangat dan keinginan untuk belajar pada setiap lap,” katanya.

Matlamat Audi: Menjadi Juara Dunia
Dengan semangat inovasi dan tradisi kejuruteraan Jerman, Audi menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu sekadar menjadi peserta baharu dalam Formula 1. Seperti kata Döllner, “Menjelang 2030, kami mahu berjuang untuk gelaran Juara Dunia Formula 1.”
Sumber: Formula1.com