Dengan kuasa hampir 1,000 HP, teknologi diinspirasikan Formula 1 dan pengeluaran terhad 499 unit, Nuvolari bukan sekadar pengganti spiritual kepada R8, malah menjadi simbol hala tuju baharu Audi dalam era prestasi tinggi dan elektrifikasi.
Dibangunkan berasaskan falsafah “Radical Next”, Audi Nuvolari hadir sebagai model produksi pertama yang menampilkan bahasa reka bentuk baharu Audi yang sebelum ini dipratonton menerusi Concept C.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, model itu merupakan “kenyataan jelas mengenai masa depan Audi”, menggabungkan reka bentuk luar biasa dengan inovasi teknologi terkini.
Di sebalik badan berkonfigurasi enjin tengah itu terletak enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar yang turut digunakan pada Lamborghini Temerario.
Enjin tersebut menghasilkan 789 HP dan 730 Nm tork, serta mampu berputar sehingga 10,000 rpm, dipadankan dengan tiga motor elektrik jenis axial-flux, masing-masing menghasilkan 148 HP.
Dua motor elektrik ditempatkan pada gandar hadapan bagi mengawal sistem pacuan semua roda dan torque vectoring, manakala satu lagi motor dipasang di antara enjin dan transmisi.
Kuasa disalurkan daripada bateri berkapasiti 7.3 kWj, hampir dua kali lebih besar berbanding unit yang digunakan pada Temerario.
Gabungan keseluruhan sistem menghasilkan 987 hp, menjadikan Nuvolari sebagai Audi produksi paling berkuasa pernah dibina.
Pecutan 0-100 kmj hanya memerlukan 2.6 saat, manakala 0-200 kmj dicapai dalam 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 kmj.
Sistem pacuan AWD baharu dikenali sebagai Quattro Predictive Ride, yang menggunakan pelbagai sensor bagi memantau sudut stereng, pecutan, kadar olengan serta tahap cengkaman tayar secara masa nyata.
Sistem itu akan mengagihkan kuasa ke setiap roda mengikut keadaan pemanduan, selain bekerjasama dengan sistem brek dan aerodinamik aktif untuk memaksimumkan kestabilan.
Pemandu boleh memilih beberapa mod pemanduan termasuk E-Hybrid, Balanced, Dynamic, Dynamic+, dan Track, sementara sistem pengurusan tenaga pintar pula mampu menyesuaikan strategi penggunaan kuasa berdasarkan gaya pemanduan dan keadaan jalan bagi mengoptimumkan prestasi serta pemulihan tenaga.
Bahagian casis dibina menggunakan rangka aluminium spaceframe yang dipadankan dengan panel badan carbon-fibre reinforced polymer (CFRP).
Kaedah pembinaan itu diambil terus daripada teknologi perlumbaan Formula 1, sekali gus membantu mengurangkan berat sambil meningkatkan kekuatan struktur.
Aerodinamik juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Nuvolari, ia dilengkapi splitter hadapan agresif, diffuser belakang bersaiz besar serta sayap belakang aktif yang mempunyai tiga tetapan berbeza – Closed, Low Downforce dan High Downforce.
Sistem DRS turut disediakan bagi mengurangkan rintangan angin ketika memecut di laluan lurus, pembangunan aerodinamik Nuvolari turut menerima maklum balas daripada dua pelumba Formula 1 Audi, Gabriel Bortoleto dan Nico Hülkenberg.
Dalam mod prestasi tertinggi, Nuvolari mampu menjana lebih 400 kilogram downforce untuk meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Sistem brek pula menggunakan cakera karbon-seramik bersaiz besar dengan kaliper 10 piston di hadapan dan empat piston di belakang.
Audi mendakwa sistem itu menawarkan keupayaan pelesapan haba sehingga 21 peratus lebih baik berbanding sistem karbon-seramik konvensional, sekali gus membolehkannya menahan beban membrek setanding jentera Formula 1.
Dari segi rekaan, Nuvolari memperkenalkan interpretasi baharu gril Singleframe Audi yang lebih ringkas dan menegak.
Keseluruhan bentuk badan direka berasaskan kecekapan aerodinamik, manakala warna Titanium yang digunakan pada model pelancaran turut menjadi warna rasmi baharu Audi seperti yang digunakan pada jentera Formula 1 mereka.
Nama “Nuvolari” diambil sempena pelumba legenda era pra-perang, Tazio Nuvolari, yang pernah berlumba untuk Auto Union, salah satu pendahulu kepada Audi moden.
Berbeza dengan tradisi penamaan alfanumerik Audi, penggunaan nama bersejarah itu menunjukkan kedudukan istimewa model tersebut dalam portfolio mereka.
Walaupun harga rasmi masih belum diumumkan, Audi dijangka meletakkan tanda harga bermula sekitar £500,000 (RM2.9 juta), dengan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada separuh pertama 2027.