Kilang pemasangan kenderaan DRB-Hicom di Pekan, Pahang menjadi lokasi pertama di Asia Tenggara untuk memasang kenderaan dari jenama Audi dan model pertama yang dipilih ialah Audi Q7 generasi kedua yang sudah boleh ditempah sejak April lalu dengan harga anggaran antara RM469k hingga RM489k.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Volkswagen Malaysia, Dr. Susanne Lehmann, projek ini menggunakan pelaburan melebihi RM12 juta bagi memastikan ia menjadi kilang yang serba modern agar pelanggan Audi akan terus dapat merasakan kualiti, prestasi dan kemewahan produk premium tersebut.
Kilang Pekan itu kini memasang beberapa model Volkswagen seperti Golf, Arteon, Tiguan Allspace dan Touareg dan mempunyai kapasiti sebanyak 5,000 kenderaan setahun.
Dr. Susanne juga berkata kilang itu akan memasang model-model lain Audi di masa hadapan, termasuk model EV yang akan dieksport ke negara-negara jiran.
Audi Q7 yang dipasang di Pekan ini ialah varian kemaskini kedua. Ia adalah sebuah SUV premium dengan tujuh tempat duduk dan mempunyai enjin 3.0L turbo TFSI V6 yang menghamburkan 340 PS dan 500 Nm, dipadankan dengan transmisi ZF dengan 8-kelajuan serta pacuan empat roda Quattro.
Enjin hibrid ringan (mild hybrid) ini masih mampu memecut dari sifar ke 100 kmsj dalam masa 5.6 saat dan halaju dibataskan ke 250 kmsj.
Walaupun enjin dan kuasa kuda sama seperti Volkswagen Touareg, tetapi kadar daya kilas serta pecutan Q7 lebih padu, termasuklah nilai jenama Audi yang lebih premium.
Ini termasuk "mainan" yang dilengkapi pada Q7 ini seperti pintu yang boleh ditutup rapat dengan sendiri (soft closing doors), sistem audio Bang & Olufsen, sistem gantungan udara versi sporti, lampu hadapan jenis LED dengan HD Matrix, lampu belakang jenis OLED, roda aloi 22-inci dan banyak lagi.
Di bawah ialah Audi Q7 dan seteru-seteru utamanya.
Model Audi Q7 ini datang dengan unit badan yang sudah siap dikimpal dan juga dicat. Komponen-komponen lain termasuk enjin, transmisi, sistem pacuan dan gantungan, elektronik, kabin dan sebagainya dipasang di Pekan.
Sebanyak tiga unit Q7 dipasang setiap hari di Pekan dan jumlahnya boleh ditingkatkan jika perlu.
Menurut Dr. Susanne, ia perlu menghasilkan sebanyak 10,000 unit kenderaan setahun untuk membuka "bodyshop" atau bahagian kimpalan komponen badan kereta serta fasiliti mengecat, dan jumlah itu terlalu tinggi untuk masa sekarang.
Klik pautan ini untuk memuat turun risalah Audi Q7 CKD.