Audi Grand Sphere - Grand Tourer berkuasa elektrik pasca-ICE

oleh Mohamad Hanif|
Minggu lalu, Audi telah memperlihatkan teaser tiga buah model konsep yang bakal mendefinisikan semula mobiliti akan datang yang terdiri daripada kenderaan elektrik.

Sebagai permulaan, Audi baru-baru ini mendedahkan teaser baharu bagi model konsep Grand Sphere, di mana sekali imbas, ia boleh diandaikan sebagai model Audi A7 Sportback masa hadapan tanpa sebarang trenkuasa konvensional.

 


Disebabkan itu, rekaan hud hadapan adalah lebih pendek tanpa keperluan untuk meletakkan unit enjin di hadapan, serta jarak overhang hadapan juga direka seminimum yang mungkin.

Selain daripada itu, ketiadaan trenkuasa konvensional juga membolehkan para jurutera memanjangkan lagi jarak antara roda hadapan dan belakang untuk memaksimumkan ruang kabin.

 


Meskipun berdasarkan gambar Audi Grand Sphere ini didatangkan dengan unit stereng, namun sebagai kenderaan masa hadapan, ia bakal mendapat sistem bantuan pemanduan autonomi tahap keempat (Autonomy Level 4) sebelum mencapai tahap automasi penuh yang tidak memerlukan input manusia.

Rekaan ruang kabin digambarkan sebagai ruang tamu bergerak, dengan rekaan roda stereng yang kecil dimensinya, serta pendekatan minimalis yang tidak menampilkan skrin yang besar, bertujuan untuk mencipta persekitaran yang lebih menenangkan.

 


Audi dijangka akan memperkenalkan secara rasmi model Sky Sphere di Pebble Beach Ogos ini, diikuti model Grand Sphere di IAA Munich September ini, sementara model Urban Sphere pula dijadualkan pengenalannya pada tahun 2022.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini kerana satu laporan terbaharu mendedahkan penafian Hyundai untuk menghasilkan kereta sports…
Berita Global
Inisiatif ‘sifar emisi’ tersebut dimulakan oleh Agensi Sains dan Teknologi Industri (sebahagian…
Berita Global
Model konsep tersebut terdiri daripada sebuah trak pikap O100, SUV F100 serta crossover kompak KR10…