Audi E-Tron S, S Sportback dilancarkan - SUV elektrik 496 hp, 0-100 kmsj 4.5 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada penawaran SUV elektrik E-tron, Audi kini memperluaskan penawaran model elektrik dengan memperkenalkan duo SUV berprestasi tinggi berkuasa elektrik, iaitu E-tron S dan SUV coupe E-tron S Sportback.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika versi standard didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar - satu untuk setiap gandar - model SUV E-tron S dan S Sportback ini didatangkan dengan konfigurasi tiga motor elektrik.

Ini bermakna, dua unit motor elektrik diposisikan di bahagian gandar belakang, manakala sebuah lagi dipasang pada gandar hadapan.

 


Hasilnya, kedua-dua model ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 496 bhp dan 973 Nm daya kilas yang memacu semua roda, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.5 saat sahaja.

Manakala kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 209 km/j.

Penggunaan trio motor elektrik ini bukan sahaja memperbaiki pecutan garis lurus, malah ia juga turut digunakan bagi membekalkan fungsi torque-vectoring elektrik.

 


Dalam mod pemanduan biasa, hanya motor elektrik di bahagian belakang yang beroperasi dan daya kilas dihantar kepada dua roda belakang menerusi transmisi kelajuan tunggal.

Manakala dalam pemanduan dinamik, motor elektrik hadapan akan diaktifkan, di mana ketika sistem mengesan gelinciran tayar, ia akan menyahpecut dari bahagian dalam roda hadapan bagi mengurangkan kehilangan cengkaman.

Menurut Audi, kedua-dua model S ini mampu melakukan pemanduan drift yang terkawal disebabkan pengedaran kuasa yang lebih bias kepada roda belakang berbanding model standard.

 


Ia turut dibantu dengan penggunaan sistem suspensi udara adaptif yang direka spesifik untuk model S, dan ketinggian yang boleh diubah sehingga 76 mm bergantung kepada pemanduan semasa.

Sistem brek pula dinaiktaraf kepada angkup enam piston di bahagian hadapan.

Aspek aerodinamik turut diberikan tumpuan di mana varian S ini menerima penambahan arca roda yang mampu meningkatkan aliran udara dengan lebih berkesan, dan menyumbang kepada kadar pekali seretan serendah 0.26 pada model Sportback.

Penambahan arca roda ini juga menambah kelebaran sebanyak 5 cm berbanding dimensi asal, menampakkan lagi kegagahan SUV ini di atas jalan raya.

 


Antara kelengkapan standard yang dipasang pada E-tron S ini termasuklah bumper hadapan dan belakang yang lebih sporti, perincian warna perak dan pelindung cermin sisi aluminium, serta set rim bersaiz 20 atau 21 inci.

Sementara ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk sports berkuasa elektrik yang dibaluti kulit nappa, serta opsyen kemasan daripada gentian karbon.

Kedua-dua model E-tron S dan E-tron S Sportback didatangkan dengan pek bateri 95 kWh yang mampu memberikan jarak operasi sejauh 359 kilometer dan 364 kilometer untuk model Sportback, kurang 80 kilometer berbanding model E-tron 55.

 


Di Eropah, pelanggan yang menempah mana-mana model E-tron baharu akan menerima langganan percuma selama 12 bulan kepada perkhidmatan pengecasan Audi yang merangkumi 18 pembekal poin pengecasan, kad pembayaran RFID, rebat bil elektrik sebanyak £150 (RM802) dan pemasangan slot pengecasan wallbox 7kW di rumah secara percuma.

Harga jualan pula bermula dari £87,000 (RM465,383) untuk model S manakala model SUV Coupe S Sportback pula dijual pada harga £88,700 (RM474,477).

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Terdiri daripada model SUV, sportback dan coupé empat pintu, rangkaian e-tron dibina khas dengan…
Berita Global
Mengelirukan, bukan? Ini kerana model SUV elektrik pertama yang dilancarkan pada tahun 2018 itu…
Berita Domestik
Selain daripada model-model SUV dan wagon Audi, Weststar Motor turut menyelitkan sebuah model e-…