Audi e-tron GT 2022 rasmi dilancarkan - 'kembar' Taycan!

oleh Mohamad Hanif|
Sebentar tadi, Audi telah pun selesai melancarkan secara rasmi model sedan elektrik empat pintu Audi e-tron GT yang bakal memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya seperti Tesla Model S dan juga Porsche Taycan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti tipikal model-model yang membawakan akronim GT, Audi e-tron GT direka untuk menjadi sebuah kenderaan merentasi benua dengan tahap praktikaliti yang lebih baik, selain menawarkan ruang yang lebih selesa untuk penumpang.

e-tron GT dibangunkan atas pelantar J1 Performance Platform yang direka oleh Porsche, oleh sebab itu ia berkongsi banyak komponen dengan model Taycan seperti contoh senibina elektrik 800 Voltan, sistem pengecasan pantas, serta sistem pengurusan tenaga haba yang efektif.

 


Dari segi luaran, e-tron GT menampilkan rekaan roda yang besar, jarak antara roda yang panjang, serta garis badan yang mempunyai kadar pekali seretan terendah di dalam sejarah penghasilan kenderaan Audi, iaitu 0.24.

Untuk mencapai nilai tersebut, beberapa ciri diwujudkan seperti air-curtains yang berfungsi menyalurkan udara, rekaan lantai rata, serta diffuser belakang bagi mengurangkan kesan daya angkat.

Malah, dengan sistem aero yang aktif seperti inlet, spoiler belakang dan dengan bantuan suspensi, ia mampu menambah kira-kira 30 km kepada jarak operasi purata e-tron GT ini.

 


Dua varian ditawarkan pada masa ini, iaitu e-tron GT quattro dan RS e-tron GT, menampilkan tetapan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar), di mana motor elektrik hadapan berkuasa 175 kWh untuk kedua-dua versi.

Sementara motor elektrik pada gandar belakang pula mempunyai kuasa 355 kWH untuk model RS manakala model quattro pula mendapat motor elektrik 320 kWh.

Secara keseluruhan, model aras mula e-tron GT quattro mampu menghasilkan kuasa setinggi 476 kuasa kuda dan 630 Nm, manakala model RS e-tron GT pula lebih tinggi - 589 hp dan 830 Nm.

Secara standard, e-tron GT ini datang dengan kotak gear dua nisbah kelajuan yang mampu menawarkan pecutan pantas, dibantu dengan fungsi overboost yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 255 km/j.

Model asas quattro pula mampu berbuat demikian dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

 


Sistem gantungan e-tron GT ini terdiri daripada tetapan double-wishbone yang banyak menggunakan komponen aluminium, sementara sistem stereng elektro-mekanikal pula menawarkan perasaan pemanduan yang lebih terus dan sporti.

Selain daripada itu, Audi e-tron GT turut didatangkan dengan ciri pilihan sistem stereng semua roda yang mampu mengubah roda belakang pada arah bertentangan di kelajuan rendah, dan arah yang sama pada kelajuan melebihi 50 km/j.

Secara standard, e-tron GT Quattro dilengkapi dengan diff kekunci mekanikal, sementara ciri diff kekunci gandar belakang yang boleh dikawal ditawarkan sebagai opsyen untuk model Quattro dan standard untuk model RS e-tron GT.

Sistem suspensi adaptif adalah opsyen untuk model asas, akan tetapi ia merupakan ciri standard untuk model RS dimana ia boleh direndah atau ditinggikan bergantung kepada situasi, selain mampu beroperasi mengikut mod pemanduan yang ditetapkan (Confort, Efficiency, Dynamic dan Individual).

 


Tipikal sebuah kenderaan elektrik yang tidak menghasilkan begitu banyak bunyi, Audi membuat keputusan untuk menghabiskan masa membangunkan runut bunyi yang unik untuk GT.

Sistem ini terdiri daripada dua unit kawalan dan amplifier, dan disalurkan ke luar kenderaan dan ke dalam kabin menerusi pembesar suara tersendiri.

Bunyi yang terhasil akan bergantung kepada putaran motor elektrik, beban, kelajuan kenderaan dan beberapa parameter yang diukur untuk menjadi asas kepada penghasilan bunyi itu tadi.

Sudah tentu, pemandu juga boleh menetapkan modulasi bunyi yang dihasilkan menerusi pemilihan mod pemanduan, di mana profil Dynamic menawarkan runut bunyi yang lebih sporti dan berkualiti tinggi.

 


Pek bateri Lithium-ion pula berkapasiti 86 kWh dengan konfigurasi susunan khas yang mampu menawarkan titik graviti yang sangat rendah, dan ruang kabin yang lebih selesa.

Terima kasih kepada senibina elektrik 800V daripada Porsche Taycan, Audi e-tron GT turut menawarkan sistem pengecasan pantas DC 270 kW yang membolehkan pengecasan dari 5-80 peratus kapasiti bateri dala masa 22.5 minit, atau penambahan jarak 100 km dalam masa lima minit!

Berdasarkan data EPA, e-tron GT Quattro mampu bergerak sejauh 383 km untuk sekali cas penuh, sementara RS e-tron GT pula sedikit kurang, sekitar 373 km sahaja.

Terdapat dua port pengecasan disediakan pada fender hadapan yang membenarkan pengecasan AC pada kedua-dua bahagian, dan pengecasan DC pada bahagian penumpang hadapan.

Selain daripada itu, Audi e-tron GT turut menyokong pengecasan 11 kW untuk kegunaan di rumah, serta pilihan pengecasan 22 kW.

 


Dari segi dimensi pula, Audi e-tron GT mempunyai ukuran panjang 4.99 meter, lebar 1.96 meter dan tinggi 1.4 meter dengan jarak antara roda sepanjang 2.90 meter.

Ruang kargo di bahagian belakang pula adalah sebesar 405 liter sementara ruang kargo kedua di bahagian hadapan pula menambah 81 liter kepada ruang sedia ada.

Memasuki ruang kabin, Audi e-tron GT menawarkan opsyen upholsteri bebas kulit, serta bahan lestari yang diperbuat daripada botol PET yang dikitar semula.

Untuk memastikan Audi e-tron GT menawarkan pengalaman seakan sebuah kereta sports sebenar, posisi tempat duduk direka supaya kekal rendah dibantu dengan konfigurasi unik pek bateri yang disebutkan di atas bagi menawarkan ruang kaki yang lebih luas.

 


Di pasaran Jerman, harga jualan Audi e-tron GT bermula dari €99,800 (RM489,175) untuk model asas Quattro sehingga €138,200 (RM677,395) untuk model RS.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Pelanggan Audi yang berminat boleh mendapatkan model SUV Q8 e-tron SUV atau versi Sportback dengan…
Berita Global
Audi memang mempunyai perjalinan yang sudah lama dengan kelab bolasepak profesional tersebut dan…
Berita Global
Model empat pintu Gran Turismo ini dibangunkan untuk memperlihatkan kepada umum bayangan model…