Menurut laporan Reuters bertarikh 5 Mei 2026, Ketua Pegawai Kewangan Audi, Juergen Rittersberger berkata, sebarang kenaikan tarif akan memberi tekanan ketara kepada syarikat, walaupun keputusan muktamad masih belum diumumkan oleh pihak pentadbiran Amerika Syarikat.

Tarif Boleh Cecah 25 Peratus
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mengancam untuk menaikkan tarif import kenderaan dari Kesatuan Eropah sehingga 25 peratus. Langkah ini dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap pematuhan perjanjian perdagangan antara AS dan EU sebelum ini.
Ketika ini, tarif sedia ada berada pada paras 15 peratus, yang sudah pun memberi kesan kewangan besar kepada kumpulan Volkswagen, dengan anggaran kos sekitar 4 bilion euro (RM20.2 bilion) setahun.
Audi Tiada Kilang Di Amerika Syarikat
Antara faktor utama yang menjadikan Audi lebih terdedah ialah ketiadaan fasiliti pengeluaran sendiri di Amerika Syarikat. Ketika ini, Audi bergantung sepenuhnya kepada import dari Eropah dan Mexico untuk memenuhi permintaan pasaran tersebut.
Ini bermakna sebarang kenaikan tarif akan terus meningkatkan harga jualan atau menghakis margin keuntungan syarikat.
Jualan China Terus Lemah
Dalam masa sama, Audi turut berdepan cabaran besar di China, iaitu pasaran terbesar mereka sebelum ini. Permintaan yang semakin lemah serta persaingan sengit daripada jenama tempatan seperti BYD dan Geely telah menekan prestasi jualan.
Laporan terdahulu menunjukkan penghantaran global Audi merosot, dengan kejatuhan lebih ketara di China akibat perubahan selera pengguna serta peralihan pantas ke arah kenderaan elektrik yang lebih kompetitif dari pengeluar tempatan.
SUV Baharu Jadi Taruhan Audi
Model SUV mewah bersaiz besar yang bakal dilancarkan di Amerika Syarikat dijangka menjadi antara strategi penting untuk mengukuhkan semula kedudukan Audi, namun tetap terdedah kepada risiko tarif kerana diimport dari Eropah.
Pertimbang Bina Kilang Di AS
Dalam masa sama, Audi dan syarikat induknya, Volkswagen, sedang menilai kemungkinan membina fasiliti pengeluaran di Amerika Syarikat bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Namun, Rittersberger menjelaskan bahawa keputusan tersebut bergantung kepada sokongan dasar kerajaan, termasuk insentif, subsidi atau pengurangan tarif.
Tanpa sokongan sedemikian, pelaburan besar seperti itu sukar untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Tekanan Berganda Industri
Situasi ini berlaku ketika Volkswagen Group dan jenama di bawahnya sedang berdepan tekanan global daripada pelbagai sudut termasuk peningkatan tarif serta persaingan sengit daripada pengeluar automotif China.
Sebagai langkah penyesuaian, Audi merancang untuk mengurangkan kira-kira 7,500 tenaga kerja menjelang tahun 2029 sebagai sebahagian daripada strategi penjimatan kos dan penstrukturan semula operasi.
Gabungan tekanan dari Amerika Syarikat dan China kini meletakkan Audi dalam fasa kritikal untuk menyesuaikan strategi global mereka.