Langkah tersebut dijangka akan menjimatkan lebih daripada €1 bilion (RM4.4 bilion) setiap tahun.
Selain itu, Audi akan melabur sebanyak €8 bilion (RM35 bilion) ke dalam fasiliti domestiknya menjelang akhir dekad ini.
Pelaburan tersebut termasuk menambah satu lagi model elektrik aras mula di Ingolstadt serta menyediakan fasiliti Neckarsulm untuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Audi juga akan menubuhkan dana masa depan bernilai €250 juta (RM1.2 bilion) bagi membolehkan syarikat itu membangunkan platform pengeluaran baharu untuk EV di kilang tersebut.
Menurut Audi, "Keadaan ekonomi semakin mencabar, tekanan persaingan dan ketidakpastian politik memberikan cabaran besar kepada syarikat."
Ketidakpastian mengenai mandat EV di US dan kemasukan kenderaan elektrik China yang lebih murah memberi tekanan kepada kewangan serta masa depan Audi dan Volkswagen Group.
Ancaman tarif, yang boleh memaksa jenama mewah itu mengalihkan pengeluaran ke US, serta prospek ekonomi yang semakin merosot turut memburukkan lagi keadaan.
Audi menyatakan bahawa pemberhentian pekerja akan dibuat berdasarkan "senario sasaran" untuk mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan proses pembangunan dan inovasi jenama.
Menurut laporan Reuters, Audi telah memberhentikan 9,500 pekerja dalam sektor pengeluaran sejak 2019, di mana pemberhentian kali ini akan melibatkan bahagian pentadbiran, pembangunan, dan bidang berkaitan.
Audi juga telah melanjutkan perjanjian keselamatan pekerjaan dengan majlis pekerjanya di Jerman hingga 2033 kerana syarikat itu merancang untuk menghasilkan lebih sedikit model dengan harga lebih tinggi.
Bulan lalu, Audi telah mengumumkan akan bergerak ke pasaran yang lebih premium dengan meningkatkan prestij, daya tarikan, dan persepsi jenama.