Audi A8 L kini dijual di Malaysia - 335 hp, 500 Nm, bermula dari RM879,900

oleh Mohamad Hanif|
Audi Malaysia tengah mengumumkan penawaran model sedan baharu A8 L yang kini rasmi dijual untuk pasaran Malaysia dengan varian tunggal 3.0 TFSI quattro.

Secara asasnya, ia merupakan sedan A8 namun dengan jarak antara roda yang lebih panjang iaitu 3,128 mm (130 mm lebih berbanding A8). 

Seperti yang disebutkan, Audi A8 L hadir dengan penawaran varian tunggal dengan nadi 3.0 liter bentangan V6 yang dipadankan dengan sistem mild-hybrid 48 voltan. 
 


Enjin ini mampu menjana 335 kuasa kuda dan daya kilas 500 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan semua roda quattro menerusi transmisi Tiptronic lapan kelajuan. 

Prestasi di atas jalan raya mampu memberikan pecutan sepantas 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. 

Sistem mild-hybrid itu tadi memberikan kelebihan dari segi penjimatan bahan api, terutama ketika sedang bergerak secara malar di atas lebuhraya, di mana operasi enjin akan dihentikan sehingga 40 saat dalam julat kelajuan 55-160 km/j. 
 


Untuk keselesaan pemanduan, Audi A8 L hadir dengan sistem suspensi udara dengan pemakaian rim bersaiz 19 inci di keempat-empat sudut arca roda. 

Ciri standard lain termasuklah lampu utama Matrix HD LED, lampu belakang OLED, cermin sisi auto kelam serta bumbung suria panorama. 

Memasuki ruang kabin, tempat duduk dibaluti dengan kulit Valcona diselangi dengan kemasan Alcantara pada ruang kepala, manakala kemasan papan pemuka pula tampil dengan dua trim yang berbeza. 
 


Pemandu akan dihidangkan dengan paparan maklumat menerusi kluster instrumen bersaiz 12.3 inci yang didatangkan dengan sambungan Audi Connect dan sistem navigasi MMI. 

Untuk tujuan hiburan pula, sistem infotainmen dilengkapkan dengan unit audio daripada B&O Premium 3D. 

Ciri keselamatan yang ditawarkan oleh Audi A8 L pula termasuklah Audi pre sense yang terdiri daripada brek kecemasan automatik, bantuan parkir dengan ciri paparan keliling 360 darjah, amaran keluar laluan, bantuan penukaran laluan, amaran keluar dan juga amaran lintasan trafik belakang. 
 


Untuk pasaran Malaysia, Audi A8 L dijual pada harga bermula dari RM879,900 atas jalan tanpa insurans dan didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun. 

Add new comment

Careta Ad