Atara Racing - rim aloi jenama dunia dari Malaysia!

oleh Careta.my|
Sekiranya anda berminat akan kereta-kereta old school, pastinya jenama Atara Racing akan sering dilihat dan didengar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Atara Racing sebenarnya bermula dari bawah bila tujuh tahun dahulu, Ali Said, 31, dari Kuala Nerang, Kedah giat menjual rim-rim aloi di laman web Mudah. Ali atau lebih dikenali sebagai Alie Kuoppa telah berkahwin dan baru mendapat cahaya mata pertama.

Beliau menjual rim-rim aloi yang lebar dari biasa, dan rim-rim aloi yang sesuai untuk kereta-kereta old-school.

Menurut Ali, pasaran untuk rim aloi memang wujud kerana masalah untuk mendapatkan rim aloi yang menarik dengan harga mampu. Kedai-kedai tayar tidak membawa masuk rim aloi tersebut secara banyak kerana harga yang mahal. Contohnya, rim aloi RS-Watanabe dari Jepun yang dipanggil rim pisang itu berharga lebih dari RM15,000 untuk satu set, jauh di luar kemampuan ramai peminat kereta tempatan.
 

Atara Racing Careta Ali (kiri) bersama Danny dan Steven. Tiga anak muda yang berjaya membawa jenama tempatan ke tahap antarabangsa.

 

Melihat akan permintaan untuk rim aloi kereta old school yang mencukupi untuk sebuah perniagaan kecil, Ali membuka perniagaan baharunya dengan rakan kongsi Danny Foo, pemuda berusia 39 tahun dari Pulau Pinang pula mempunyai hobi untuk melakukan modifikasi kenderaan. Keduanya bertemu di laman cyber bila Danny sering membeli rim aloi dari Ali.

Keduanya berjumpa dan berbincang rekabentuk yang popular di kalangan peminat kereta tempatan dan akhirnya bersetuju rekabentuk pisang itu boleh digunakan. Ia mirip seperti RS-Watanabe dengan lapan jejari (spokes) tetapi berbeza dari pelbagai segi. Sebuah kilang di Qingdao, China telah dikenalpasti dan bersetuju menjadi rakan teknikal mereka.

Menurut Danny, kilang tersebut bukan sahaja profesional, malah mereka yang melakukan ujian-ujian keselamatan untuk mereka. Padanlah kilang tersebut turut menghasilkan jenama-jenama rim aloi popular dari Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.


Tahun 2010, mereka membawa masuk 40 set rim 15" X 9JJ bentuk pisang itu dan menjualnya di bawah jenama Atara Racing.

Oleh kerana jumlah stok yang sedikit, harga yang terpaksa dijual pada masa itu ialah RM3,500 untuk satu set. Mereka mengambil masa enam bulan untuk menjual kesemua stok tersebut tetapi jenama Atara Racing sudah mula dikenali.

Atara Racing sebenarnya datang dari perkataan Jepun. Menurut Danny, Atara berasal dari perkataan atarashi, perkataan Jepun yang bermaksud "segar" atau fresh.

Tahun 2011, mereka membawa masuk 120 set rim aloi Atara Racing pisang dan menurunkan harganya kepada RM2,800 untuk satu set. Stok tersebut mengambil masa setahun untuk dijual semuanya.
 


Tahun 2012, Atara Racing sudah mula kuat dan mula menjual rim "cengkih" bersaiz 14" X 9JJ.

Kali ini, Atara Racing bertemu dengan masalah pertama mereka - rekaan mereka mula ditiru oleh kumpulan penjual rim/tayar tempatan. Rim yang sama dibuat di kilang yang lain dan dijual dengan nama lain tetapi pada harga yang lebih rendah.
 


Ali dan Danny terus membuat keputusan bahawa rekabentuk yang baharu akan menjadi unik kepada Atara Racing sahaja, dan hasilnya ialah rim aloi MY-14S dengan 14 jejari yang melambangkan 14 jalur gemilang.

Atara Racing juga sudah menghasilkan beberapa rekabentuk baharu seperti B-5R Bunga Raya dan BC-5, dan saiz rim aloi mereka ialah dari 14 inci sehingga 21 inci. Rim aloi Atara Racing juga ada yang datang dalam bentuk 3-keping (3-piece) sahaja, contohnya rim MY-14S.

Atara Racing juga kini dianggotai oleh ahli ketiga, seorang ahli perniagaan dari Muar, Steven Kong. Malah Ali telah mengambil keputusan untuk berpindah ke Muar kerana ibu pejabat Atara Racing akan diletakkan di Muar.

"Kami lebih mudah menjual secara talian (online) kerana kami mahukan produk Atara Racing menjadi ekslusif. Pasaran kami juga kecil, hanya kepada peminat kereta tegar," terang beliau ketika wawancara di pejabat Careta.

.

Atara Racing juga diekspot ke lapan negara dan yang paling menarik, sekiranya anda kenal kereta Datsun Fairlady "Fugu Z" milik Sung Kang dari Fast and Furious yang telah diubahsuai, garaj CarbonSignal Automotive yang melakukan modifikasi untuk bahagian dalaman kereta tersebut di Dubai ialah pengedar rasmi Atara Racing di negara tersebut.

Apa yang pasti, Careta berasa amat berbangga kerana Atara Racing berjaya mencipta satu produk unik "Kyodai14" inspirasi daripada 14 buah negeri di Malaysia!

Atara Racing boleh diikuti menerusi laman rasmi Facebook mereka "Atara Racing" atau laman web Atararacing.com

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Alie yang pernah Careta paparkan dengan jenama Atara Racing,  roda aloi gaya retro beliau yang…