Aston Martin Vanquish Volante, convertible V12 dengan 835 ps dan 1,000Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Aston Martin Vanquish Volante 2025
Aston Martin Vanquish Volante 2025
Selepas coupé yang berharga RM5 juta di pasaran tempatan, Aston Martin memperkenalkan Vanquish Volante, convertible paling berkuasa jenama ini.

Dikuasakan enjin V12 5.2 liter turbo berkembar dengan 835 ps dan 1,000Nm, pemandu boleh menikmati kelajuan 344 kilometer sejam (km/j).

Pemandu juga boleh menikmati pecutan 0 sehingga 100 km/j dalam 3.4 saat. DB7 Vantage Coupe dan Volante merupakan model pertama Aston Martin menggunakan enjin V12.

Dalam tempoh 25 tahun, kuasa meningkat hampir sekali ganda, daripada 426 ps kepada 835 ps dengan tork maksimum turut meningkat daripada 543Nm kepada 1000Nm.
Aston Martin Vanquish Volante

  

Kuasa tinggi disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear ZF lapan kelajuan yang terletak pada gandar belakang untuk pengagihan berat yang optimum.

E-diff elektronik boleh beralih dari terbuka sepenuhnya ke terkunci dalam hanya 135 milisaat.

Ini meningkatkan kestabilan dan cengkaman ketika mengambil selekoh tajam dan membantu meningkatkan kawalan ketika memecut di jalan lurus.

Nyanyian V12 dihantar melalui sistem ekzos keluli tahan karat baharu dengan geometri khas dan susunan empat corong ekzos yang menonjol.

Pilihan ekzos titanium dengan peredam lebih kecil menghasilkan bunyi V12 yang lebih jelas, nyaring dan mendalam selain penguranggan berat sebanyak 10.5 kilogram (kg).

 

Aston Martin Vanquish Volante

 

Vanquish Volante dilengkapi talaan suspensi khas yang dioptimumkan mengikut agihan berat berbeza berbanding versi coupe.

Peredam Bilstein DTX baharu memastikan kawalan roda yang lebih tepat serta memberikan perbezaan ketara antara mod pemanduan.

Mod GT menawarkan perjalanan lancar dan selesa, manakala mod Sport dan Sport+ meningkatkan tindak balas serta ketegaran casis untuk pemanduan lebih dinamik.

Vanquish Volante mengekalkan sistem kawalan cengkaman dan kestabilan dari model coupe. 

 

Aston Martin Vanquish Volante

 

Sistem Kawalan Penstabilan Elektronik (ESP) menggunakan kawalan pintar dan algoritma canggih untuk meramal tahap cengkaman.

Ia juga bertindak balas terhadap ketidakstabilan kenderaan tanpa gangguan mendadak. 

ESP menawarkan mod On, Track, Off, dan Wet, yang boleh dipilih melalui butang pada konsol tengah.

Kerangka aluminium dengan gentian karbon meningkatkan ketegaran lateral sebanyak 75 peratus berbanding model convertible sebelumnya.

 

Aston Martin Vanquish Volante

 

Struktur aluminium bercantum (bonded) ini menjadi asas kepada casis dan sistem dinamik. 

Penambahbaikan pada kekuatan bawah badan memberikan kestabilan dan tindak balas stereng yang hampir setanding dengan versi coupé.

Sistem brek karbon-seramik dengan cakera 410 milimeter (mm) dipasang di depan dan 360 mm di belakang dan 27 kilogram (kg) lebih ringan. 

Dengan bantuan sistem vektor tork, keseimbangan daya membrek boleh dihantar ke belakang bagi meningkatkan kestabilan ketika membrek memasuki selekoh.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Dari segi rekaan, sirip penyejukan berinspirasi F1® yang terletak pada bonet yang curam ke bawah membantu meningkatkan aliran udara bagi sistem penyejukan.

Seperti model coupé, Vanquish Volante menerima rekaan bampar hadapan, fender dan jeriji yang memberikan penampilan lebih agresif dan kehadiran yang lebih dominan.

Jeriji berbilah kini mempunyai kawasan permukaan 13 peratus lebih besar untuk membantu penyejukan enjin.

Bukaan udara pada bampar mengalirkan udara ke sekitar bahagian hadapan serta menyalurkan udara sejuk ke ruang roda depan untuk membantu penyejukan brek.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Lampu hadapan LED matriks membawakan signatur pencahayaan baharu dengan lampu nyalaan siang (DRL) terbina dalam.

Jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 80 milimeter (mm) menyerlahkan rekaan enjin hadapan dengan kedudukan kabin yang ditolak ke belakang.

Di belakang, ekor Kamm yang dinaikkan menambah kestabilan aerodinamik, manakala reka bentuk ‘Shield’ ikonik kelihatan seolah-olah terapung di bahagian belakang kenderaan.

Bumbung K-fold ringan boleh dibuka dalam 14 saat dan ditutup dalam 16 saat dan boleh dioperasikan sehingga 50 km/j.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Bumbung ini boleh dikawal secara jauh menggunakan kunci pintar dalam jarak dua meter. 

Dengan ketinggian lipatan hanya 260 mm apabila diturunkan, bumbung fabrik akustik ini boleh disimpan di bawah tonneau di belakang tempat duduk tanpa menjejaskan garis badan.

Seperti biasa, sebagai sebuah convertible berat kereta akan bertambah dan Aston Martin Vanquish Volante naik 95 kilogram (kg) namun kekal tangkas.

Setiap perincian direka teliti, seperti nama Aston Martin pada bahagian dalam lampu serta warna merah V12 pada salur udara sisi.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Cermin sisi tanpa bingkai yang lebih kecil dan lebih aerodinamik membantu meningkatkan profil aerodinamik Vanquish Volante.

Pembuka pintu tersimpan yang boleh dikeluarkan secara elektronik mengekalkan garis badan yang kemas dan anggun.

Bahagian dalaman Vanquish Volante menggabungkan teknologi skrin sentuh moden dengan butang kawalan fizikal.

Skrin digital TFT 10.25 inci dengan resolusi tinggi memberikan semua maklumat penting kepada pemandu. Skrin maklumat hibur juga berukuran 10.25 inci.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Sistem audio Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara dan subwufer dua saluran memastikan kualiti bunyi premium dalam semua konfigurasi kabin.

Kerusi Sports Plus standard boleh diganti dengan kerusi Performance gentian karbon untuk pengurangan berat dan keselesaan dalam pemanduan berprestasi tinggi.

Stereng dibalut Alcantara dengan jahitan kontras memberikan cengkaman ergonomik yang lebih baik.

Konsol tengah direka rendah untuk memberikan lebih ruang kaki, manakala panel pintu berlekuk menambah keselesaan.

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025

 

Lampu suasana LED boleh disesuaikan mengikut pilihan pengguna untuk aura kabin yang lebih eksklusif.

Vanquish Volante ditawarkan dalam jumlah terhad dan boleh ditempah sekarang melalui pusat jualan Aston Martin seluruh dunia.

Penghantaran pertama dijangka bermula pada suku ketiga 2025.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Aston Martin Vanquish Volante 2025