Aston Martin Valkyrie AMR Pro - jentera litar dengan nadi V12 1,000 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa tahun sebelum ini, Aston Martin telah pun memperlihatkan sebuah model konsep Valkyrie AMR Pro di Geneva Motor Show 2018 dan versi produksi telah pun dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak seperti Aston Martin Valkyrie versi jalanan, Aston Martin telah membangunkan aspek aerodinamik yang lebih serius untuk model Valkyrie AMR Pro ini.

Seperti contoh, casis gentian karbon telah dimodifikasikan supaya jarak antara roda bertambah 380 mm, sementara jarak trek roda hadapan turut bertambah lebar 96 mm diikuti 115 mm di bahagian belakang.

 


Dengan pemasangan komponen aerodinamik serba baharu yang lebih agresif, ia dilihat menyumbang kepada penambahan dimensi 266 mm kepada panjang keseluruhan jentera ini.

Antara perubahan yang dimuatkan termasuklah splitter hadapan gentian karbon yang lebih menyerlah, arca roda hadapan yang dibentuk semula, penambahan sirip aerodinamik, cermin sisi tradisional, sayap belakang kekal, sirip ikan jerung dan juga pelindung roda.

Terima kasih kepada modifikasi yang disebutkan itu tadi Vaklyrie AMR Pro mampu menghasilkan daya turun dua kali ganda berbanding versi jalanan, selain mampu menjana daya pecutan mendatar melampaui 3G!

 


Unit trenkuasa hibrid asal yang datang pada Aston Martin Valkyrie telah digantikan dengan unit enjin V12 berkapasiti 6.5 liter yang dibangunkan oleh Cosworth.

Enjin ini mampu mencapai putaran enjin setinggi 11,000 rpm untuk menghasilkan kuasa 1,000 hp dan mampu mencatatkan masa 3 minit 20 saat pusingan lengkap di litar Le Mans.

Aston Martin hanya mengehadkan produksi sebanyak 40 unit sahaja (termasuk 2 prototaip) untuk jentera khusus kegunaan litar ini, namun para pembeli bakal mendapat manfaat untuk merasai sendiri track day di beberapa litar terkemuka dunia.

 


Selain daripada itu, mereka juga bakal mendapat sut perlumbaan FIA, sesi makan malam VIP, dan tunjuk ajar secara terus daripada pelumba professional.

Difahamkan, pelumba F1 Aston Martin pada ketika ini Sebatian Vettel dan Lance Strol bakal menghulurkan tangan bagi membantu memperbaiki dinamik kenderaan ini di atas litar.

Sayang sekali, kesemua unit Aston Martin Valkyrie AMR Pro hanya dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri sahaja.