Aston Martin Valhalla - supercar hibrid enjin tengah pertama Aston Martin, 937 hp/1000 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Sebelum ini, Aston Martin telah memperlihatkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai AM-RB 003 yang kemudiannya ditukar kepada nama Valhalla.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, versi produksi bagi supercar itu telah pun diperlihatkan secara rasmi di mana ia masih lagi mengekalkan konsep hibrid elektrik seperti yang terdapat pada model asal, dengan beberapa perubahan dibuat selari dengan perkembangan masa.

 


Tidak lagi membawakan enjin bentangan V6 turbo berkembar, Aston Martin Valhalla 2022 kini membawakan enjin bentangan V8 jenis flat-plane crankshaft yang duduk ditengah-tengah dan dipercayai merupakan unit yang sama dipasang pada model AMG GT Black Series.

Nadi V8 4.0 liter turbo berkembar yang dikatakan merupakan "enjin yang paling maju, paling responsif dan paling berprestasi tinggi" yang dimuatkan pada sebuah Aston Martin itu telah dipadankan dengan motor elektrik, satu untuk setiap gandar dengan kuasa elektrik 201 hp.

Secara keseluruhan, Aston Martin Valhalla 2022 ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 937 hp dan daya kilas 1,000 Nm yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 330 km/j.

 


Kuasa tersebut dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar lapan nisbah kelajuan yang dibangunkan eksklusif khusus untuk Aston Martin, dengan fokus kepada prestasi jentera hibrid.

Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan limited-slip differential (LSD) elektronik pada gandar belakang, dan sama seperti beberapa supercar hibrid yang lain, ia tidak didatangkan dengan gear undur bagi menjimatkan berat.

Sebaliknya, pemanduan mengundur boleh dibuat dengan mengekstrak kuasa elektrik semata-mata.

 


Sebut pasal pek bateri pula, ia membolehkan Aston Martin Valhalla mampu bergerak sejauh kira-kira 15 km sahaja tanpa penggunaan bahan api, dengan kelajuan maksimum 130 km/j sahaja.

Sama seperti Ferrari SF90 Stradale, Aston Martin Valhalla boleh dipandu dalam konfigurasi pacuan roda hadapan di dalam mod pemanduan EV.

Casis Valhalla serba baharu itu dibangunkan menggunakan bahan gentian karbon yang menawarkan berat badan yang minimum dan struktur badan yang lebih tegar, sementara sistem suspensi pula terdiri daripada double-wishbone pushrod (ala F1) untuk bahagian hadapan, serta sistem multilink pada bahagian belakang.

Aspek pengendalian dibantu dengan ciri kawalan adaptif "Multimatic Variable Spring Rates and Adaptive Spool Valve Damper" bertujuan untuk mengimbangkan keselesaan pemanduan serta prestasi pengendalian di atas jalan mahupun di dalam litar.

 


Sistem stereng pula menggunakan bantuan elektrik, sementara sistem pemberhentian Carbon Ceramic Matrix Valhalla ini menggunakan teknologi brake-by-wire yang sama digunakan pada jentera F1.

Rim pula adalah bersaiz 20 inci hadapan serta 21 inci belakang yang dibaluti tayar berprestasi tinggi daripada Michelin.

Untuk pemanduan yang lebih serius, terdapat mod Track yang mampu mengubah tetapan seperti peredam yang lebih keras, serta jarak kelegaan tanah yang direndahkan bertujuan untuk meningkatkan aspek aerodinamik, serta kadar cengkaman.

Menurut Aston Martin, dengan bantuan sistem aerodinamik aktif Valhalla mampu menjana daya turun seberat 600 kg pada kelajuan sekitar 241 km/j.

 


Setakat ini, harga jualan Valhalla tidak diumumkan, namun ia dijangka bakal bersaing dengan supercar PHEV Ferrari SF90 Stradale.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Dari segi kuasa, Aston Martin Valhalla menampilkan enjin bentangan V8 jenis flat-plane crankshaft…