Aston Martin V8 Zagato mahu dijual, harga cecah RM2.8 juta sahaja

oleh Muhammad Md Tajudin|
Industri kereta klasik menjanjikan pulangan lumayan jika kena gaya. Walaupun harganya begitu tinggi, kereta sebegini tetapi mempunyai peminat tersendiri.

Nilai yang ada bukan setakat pada keadaan yang sempurna atau asli tetapi jumlah pengeluaran terhad sehingga unit berkarat yang dijumpai di bangsal pun mempunyai harga tinggi.

Ini ada sebuah kereta yang begitu sukar untuk ditemui dan berada di dalam keadaan sangat baik.

Aston Martin V8 Zagato tahun 1986 ini mahu dijual oleh Pendine Historic Cars di United Kingdom. V8 Zagato ini menggunakan nombor casis 20011 dan hanya satu daripada tiga prototaip yang pernah dihasilkan.

Menjadikan statusnya lebih 'rare' ialah ianya satu daripada dua unit yang datang dengan pemanduan sebelah kanan.

Kereta ini dibina dahulu sebelum 50 buah lagi unit terhad Aston Martin V8 Zagato coupé yang kesemuanya habis ditempah walaupun pengeluaran belum pun bermula.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Aston Martin V8 Zagato


Tuan asal kereta ini bukan calang-calang individu, ia dimiliki oleh Wensley Hayden-Baillie, peminat Aston Martin dan juga rakan rapat pengerusi Aston Martin Lagonda, Victor Gauntlett.

Wensley Hayden-Baillie menempah kereta ini dengan spesifikasi unik.

Kereta ini menggunakan warna Gladiator Red dan telah dibaik pulih, pemilik sekarang yang merupakan individu ketiga adalah peminat Aston Marton dan beliau sendiri pernah memandu dan berlumba menggunakan Zagato V8.

Menurut beliau kereta ini mempunyai karakter pemanduan berbeza berbanding unit lain yang pernah dipandunya.

Di antara perbezaannya ialah berat lebih ringan dan jarak roda (wheelbase) lebih pendek berbanding Vantage standard. Kereta ini juga tidak mempunyai kerusi belakang.

Dari segi prestasi, kelajuan rasmi 0 hingga 96 km/j di bawah lima saat dengan kelajuan maksimum 305 km/j yang menjadikannya sebuah Aston Martin paling laju ketika itu.

Kereta milik Wensley Hayden-Baillie memang istimewa, ianya juga satu daripada empat buah yang menggunakan enjin berkuasa 432 bhp dan satu daripada dua buah menggunakan bar oleng bersepadu (integral roll bar).

 

Aston Martin V8 Zagato

 

Lagi ciri kereta ini ialah kerusi balutan kulit hitam, papan pemuka dan stereng balutan kulit, konsol tengah walnut, dan plak identiti asli.

Kereta ini telah menjalani proses pemuliharaan di antara tahun 2009 hingga 2013 yang dijalankan oleh Auto Restorations di New Zealand dan diawasi oleh pemilik sekarang.

Untuk dokumentasi pula kereta ini memang lengkap daripada buku manual asli termasuk buku servis baucar sehingga rekod penghantaran dan waranti.

Kepada yang berminat, Aston Martin V8 Zagato boleh dimiliki pada harga £530,000 (RM2,813,691) dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada [email protected] atau di talian +44 1869 357126.

RM2.8 juta untuk sebuah kereta baru berusia 33 tahun, memang bernilai tinggi!

*1 GBP = RM5.308

Penulis: Muhammad Md Tajudin