Aston Martin V12 Vantage - Supercar V12 690 hp, 333 unit semua habis terjual!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah memperkenalkan model SUV paling pantas DBX707, Aston Martin membawakan sebuah lagi jentera berkuasa tinggi yang merupakan model terakhir menggunakan nadi V12, iaitu Aston Martin V12 Vantage.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Nadi 5.2 liter bentangan V12 dengan turbo berkembar itu mampu menjana kuasa setinggi 690 hp dan daya kilas 753 Nm, menjadikan nisbah kuasa-kepada-berat meningkat 20 peratus berbanding model V8 (385 hp untuk setiap tan).

Kuasa disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan kelajuan, dibantu dengan unit LSD pada gandar belakang.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa sekitar 3.5 saat.
 

V12


Terima kasih kepada penggunaan bahan ringan gentian karbon pada sesetengah tempat seperti bampar depan, hud, fender depan, deck lid dan bampar belakang, V12 Vantage ini mempunyai berat sekitar 1,795 kg sahaja.

Selain itu, ia turut menggunakan unit bateri jenis ringan, serta sistem ekzos keluli tahan karat yang lebih ringan 7.2 kg berbanding tetapan standard, serta mampu menyalurkan runut bunyi yang lebih agresif.

Sistem brek terdiri daripada rotor seramik karbon bersaiz 410 mm dengan angkup enam omboh di depan, diikuti rotor 360 mm dengan angkup empat omboh.

Tetapan pada sistem brek itu sahaja sudah pun mampu menjimatkan berat sekitar 23 kg, dan mampu bertahan pada suhu operasi setinggi 800 darjah Celcius.
 

V12


Segala kuasa yang dihamburkan itu tadi disalurkan kepada jalan menerusi roda Michelin Pilot 4S yang membaluti rim bersaiz 21 inci.

Selain itu, Aston Martin turut melebarkan bahagian trek belakang sebanyak 40 mm, dan hasil kerja badan yang membolehkan daya turun dijana sebanyak 204 kg pada kelajuan tinggi 322 km/j.

Aspek gantungan telah dinaiktaraf dengan suspensi adaptif yang menampilkan komponen bar anti oleng, bushing, spring dan peredam yang telah direka semula, dan berbanding model Vantage standard, spring depan adalah 50 peratus lebih tegar diikuti 40 peratus pada bahagian belakang.
 

V12


Secara keseluruhan, hanya 333 unit sahaja model V12 Vantage yang akan diproduksikan, dan seperti yang dijangka, semua unit telah pun habis terjual!