Aston Martin DBX707 AMR24 Edition, ibarat kereta perubatan rasmi atas jalan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Aston Martin DBX707 AMR24 Edition
Aston Martin DBX707 AMR24 Edition
Sukar juga sebenarnya jika anda mahu membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) berkuasa tinggi. 

Ada banyak pilihan sama ada dari Itali, Jerman dan buatan British. Di antara contoh yang memasuki senarai dilema ialah Aston Martin DBX707 dengan kuasa lebih 700 ps.

Penamat kepada dilema mungkin terletak pada DBX707 AMR24 Edition.

SUV ultra mewah ini dibuat bagi meraikan Aston Martin Aramco Formula One® Team dan dinamakan sempena kereta lumba Formula 1®.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
 Aston Martin DBX707 AMR24 Edition

 

DBX707 AMR24 Edition berkongsi identiti dengan kereta lumba AMR24 dan Kereta Perubatan Rasmi Formula 1®.

AMR24 Edition merupakan kereta pertama direka dan dikeluarkan di Kampus Teknologi AMR yang canggih di Silverstone, United Kingdom (UK).

SUV ini memang cantik dalam warna hijau dan selain Podium Green pelanggan ditawarkan Onyx Black dan Neutron White.

Warna tersebut dipadan bersama angkup brek warna Aston Martin Racing Green atau menyerlah dengan AMR Lime.

 

 Aston Martin DBX707 AMR24 Edition

 

Rim jejari halus Fortis saiz 23 inci boleh dipesan dalam warna satin atau hitam kilat.

Riasan Lime Green atau Trophy Silver pada permukaan hitam kilat atau karbon mengingatkan kepada  AMR24 F1® dan kereta perubatan rasmi.

Bahagian dalam juga menyerlah dengan padanan Onyx Black dan jaluran Lime. Satu lagi pilihan ialah Onyx Black dan Eifel Green Duotone dengan jahitan lime.

Pelanggan juga diberi pilihan gentian karbon dan krom gelap atau titanium mesh dengan krom satin.

 

 Aston Martin DBX707 AMR24 Edition

 

Logo Aston Martin dipapar pada panel papan pemuka dan logo AMR24 pada ambang pintu.

Permainan warna terang disambut sistem audio baharu yang dibangunkan bersama Bowers & Wilkins dan direka mengikut saiz dalaman dan bentuk DBX707.

Enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar menghamburkan 707 ps dan 900Nm. Enjin dipadan bersama kotak automatik cekam basah sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Sistem itu boleh menghantar sehingga 100 peratus daya kilas ke belakang berdasarkan permintaan.

 

 Aston Martin DBX707 AMR24 Edition

 

Pecutan dari 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.1 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 311 km/j.

Tidak hairan mengapa DBX707 dipilih sebagai Kereta Perubatan Rasmi Formula 1®. 

Untuk makluman tiada SUV lain yang mempunyai kaitan dengan F1 seperti DBX707 atau AMR24 Edition

Tempahan Aston Martin DBX707 AMR24 Edition sudah pun dibuka bagi menamatkan dilema pelanggan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Aston Martin DBX707 AMR24 Edition