Aston Martin DBX S, 4.0 liter V8 turbo 727 ps, berkuasa daripada DBX707!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Aston Martin DBX S
Aston Martin DBX S
Perhatian kurang diberikan pada Aston Martin DBX707 namun hakikatnya lebih tangkas dan berkuasa daripada Lamborghini Urus S dan Urus Performante.

Jika DBX707 sudah berkuasa, ini model terbaru yang lebih berkuasa iaitu Aston Martin DBX S.

Enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar dipertingkatkan dan menghasilkan 727 ps atau bertambah 20 ps. Daya kilas setinggi 900Nm dari 3,000 hingga 5,250 rpm. 

Model ini meneruskan tradisi Aston Martin menggunakan akhiran S untuk varian berprestasi tinggi yang bermula daripada Vanquish S pada 2004.
Aston Martin DBX S 2026

 

Lonjakan kuasa disumbang teknologi pengecas turbo daripada kereta super baharu Aston Martin termasuk diameter roda pemampat lebih besar dan penambahbaikan dalaman lain.

Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 3.3 saat, manakala pecutan 0 sehingga 200km/j dipendekkan sebanyak 0.3 saat. Kelajuan maksimum kekal 311 km/j.

Sistem ekzos turut diubah suai bagi menghasilkan bunyi yang lebih berkarakter dan mempamerkan kehebatan enjin V8 dan memanfaatkan keupayaan turbo yang dipertingkat.

Seperti DBX707, DBX S menyalurkan kuasa ke roda hadapan dan belakang secara berubah-ubah dan boleh menghantar 50 peratus tork ke depan dan sehingga 100 peratus ke belakang.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Kuasa dihantar melalui transmisi sembilan kelajuan cekam basah inovatif tanpa penukar tork konvensional. Transmisi ditala semula untuk pengalaman pemanduan lebih dramatik.

Talaan naik gear disesuaikan kepada julat rpm lebih panjang, serta penurunan gear lebih agresif dalam mod Sport dan Sport+.

Beberapa langkah telah diambil bukan sahaja untuk mengurangkan berat kereta DBX S secara ketara, tetapi untuk melakukannya dengan cara yang bijak dan sangat selektif.

Ini bagi memastikan bahawa pengurangan berat hanyalah salah satu daripada ciri-ciri yang terhasil.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Contoh utama ialah bumbung gentian karbon (pilihan) dalam corak anyaman dengan saiz hampir tiga meter persegi.

Saiz itu menjadikannya sebagai elemen karbon terbesar yang pernah dipasang pada kereta Aston Martin. Spesifikasi bumbung karbon tidak memerlukan rel bumbung. 

Langkah ini menjimatkan 18 kilogram (kg) dengan mengurangkan berat pada bahagian paling atas kereta seterusnya menurunkan pusat graviti, meningkatkan kestabilan dan kelincahan.

Roda magnesium turut ditawarkan sebagai pilihan dan pertama kali untuk mana-mana kereta dalam segmen SUV.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Magnesium bukan sahaja kukuh tetapi juga bahan yang sangat ringan iaitu kira-kira 75 peratus lebih ringan daripada keluli.

Bahan ini juga separuh berat titanium dan sepertiga lebih ringan daripada aluminium.

Penggunaan roda 23 inci membantu menjimatkan 19 kg serta meningkatkan mutu perjalanan, ketepatan stereng dan rasa dan tindak balas kereta lebih pantas terhadap input arah.

Pemilihan rim magnesium juga diseragamkan dengan bumbung tanpa rel dan mengurangkan lagi berat. DBX S juga tersedia untuk ditempah dengan roda aluminium tempa 23 inci.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Selain itu, pelanggan boleh memesan jeriji polikarbonat berbentuk sarang lebah yang direka khas dan terdiri daripada puluhan ribu permukaan kecil.

Rekaan ini membantu mengubah pengagihan berat ke bahagian belakang kereta, meningkatkan pengendalian dan keupayaan cengkaman.

Nisbah stereng DBX S dipercepatkan sebanyak empat peratus dan meningkatkan kelincahan dan menjadikan kereta terasa lebih sporti serta responsif tanpa menjejaskan kestabilan.

Ia juga mengurangkan jejari pusingan hampir setengah meter kepada 12 meter, dan meningkatkan pemanduan di bandar.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

DBX S mendapat manfaat daripada pelbagai penambahbaikan suspensi yang diperkenalkan tahun lalu.

Ini termasuk penalaan semula bagi kedua-dua pegas udara dan penyerap hentak elektronik yang meningkatkan kawalan badan dengan lebih pantas.

Penambahbaikan ini membantu mengurangkan pemindahan berat dan seterusnya memperbaiki mutu perjalanan serta kestabilan keseluruhan.

DBX S dilengkapi sistem kawalan olengan elektronik standard yang menghadkan kecondongan badan kereta kepada maksimum 1.5 darjah walaupun ketika dipandu pada had cengkaman.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Sudut ini cukup untuk memberikan rasa membelok yang semula jadi.

Namun begitu, badan kereta tetap kekal lebih rata berbanding banyak kereta sport dua tempat duduk yang dibina khusus untuk prestasi.

Selain itu, kadar kekerasan pegas turut berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Sistem ini akan melaras kekakuan olengan secara aktif semasa mengambil selekoh bagi meningkatkan tahap cengkaman serta tindak balas stereng.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Prestasi membrek cemerlang disumbang sistem brek cakera seramik karbon di keempat-empat roda dengan saiz minimum 420 milimeter (mm) di depan dan 390 mm di belakang.

DBX S ialah model paling sporti dan berprestasi tinggi dalam barisan SUV mewah Aston Martin.

Dari hadapan, DBX S tampil dengan jeriji bilah hitam dengan penampilan lebih garang dan dominan di atas jalan.

Pelanggan juga boleh memilih gril ringan polikarbonat dengan corak sarang lebah yang diinspirasikan daripada DBS 770 Ultimate.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Reka bentuk pemisah dan peresap baharu menambah lagi gaya agresif.

Di bahagian sisi, skirt sisi baharu dilengkapi sirip udara menegak yang bukan sekadar elemen estetik, tetapi turut membantu pengaliran udara sepanjang badan kenderaan.

Cermin sisi, strake dan skirt bawah pintu boleh dinaik taraf dengan kemasan gentian karbon.

Lencana S terletak pada bahagian fender hadapan, diperbuat daripada logam padu dengan kemasan enamel kaca.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Huruf S diwarnakan merah, mengambil inspirasi daripada model terdahulu seperti V12 Vantage S dan Rapide S.

Pelanggan turut boleh memilih kemasan krom cerah atau gelap untuk padanan dengan warna lencana Aston Martin yang dipilih.

Bahagian belakang DBX S menampilkan perubahan paling ketara. Sistem ekzos empat muncung kini disusun secara menegak dan ditawarkan dalam kemasan kilat atau kusam.

Peresap dan bampar belakang direka semula sepenuhnya.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Jika digabungkan dengan pilihan gentian karbon pada skirt sisi dan spoiler berat keseluruhan dapat dikurangkan sebanyak tujuh kilogram.

Turut meriah grafik bawah badan baharu yang boleh dipilih dalam tiga warna berbeza iaitu Rosso Corsa Red, Trophy Silver dan Podium Green.

Corak ini menyerlahkan pemisah depan, peresap dan skirt sisi selain menyerlahkan muncung ekzos belakang.

Ruang dalaman DBX S menampilkan tema khas S, dengan corak herringbone pada kerusi. Jika bumbung karbon dipilih, corak ini juga disambung ke bahagian bumbung dalam. 

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Kemasan standard ialah material Alcantara ringan dan sporty yang digunakan pada kerusi, bumbung, konsol tengah, panel instrumen bawah dan kemasan atas.

Untuk bahagian yang lebih kerap disentuh seperti sisi tempat duduk, Alcantara digabungkan dengan kulit semi-aniline untuk tahan lama dan rasa mewah.

Bagi mereka yang mahukan rasa kemewahan lebih tinggi, DBX S juga boleh dilengkapkan sepenuhnya dengan kemasan kulit semi-aniline.

Tali pinggang keselamatan merah juga boleh dipilih sebagai elemen identiti S tambahan di dalam kabin.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Huruf S disulam pada tempat duduk dan dipadankan dengan logo sayap Aston Martin yang timbul pada bahagian perehat kepala.

Logo ini menggunakan teknik gabungan emboss dan deboss dengan tekanan tinggi 1.5 tan serta haba untuk menghasilkan kemasan yang sangat tepat sehingga ke sub-milimeter.

Logo S turut dipaparkan pada pelapik ambang pintu dan plak enjin.

DBX S menggunakan sistem maklumat hibur baharu hasil pembangunan dalaman Aston Martin yang kini dilengkapi seni bina kabin yang lebih moden dan tersusun.

 

Aston Martin DBX S 2026.17 1

 

Reka bentuk baharu ini menggabungkan kemahiran pertukangan dan inovasi teknologi yang menampilkan kemewahan tulen bersama teknologi kenderaan terhubung terkini.

Sistem audio standard ialah Aston Martin Premium Audio 800W dengan 14 pembesar suara dan teknologi bunyi surround QuantumLogic®/

Untuk peminat audio sejati, sistem pilihan yang dibangunkan bersama Bowers & Wilkins turut ditawarkan.

 

Aston Martin DBX S 2026

 

Sistem 23 pembesar suara ini menggunakan teknologi seperti Aluminium Double Dome tweeter dan pembesar suara Continuum® untuk hasil audio yang seimbang dan tepat.

Ia turut dilengkapi pembesar suara 3D di bumbung, pembesar bass dan subwufer berkuasa tinggi.

Tempahan Aston Martin DBX S kini dibuka dengan penghantaran dijangka bermula suku keempat 2025.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Aston Martin DBX S 2026