Aston Martin DBX rasmi masuk Malaysia - dari RM818 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Setelah dilancarkan secara rasmi di peringkat global pada penghujung tahun yang lalu, Aston Martin akhirnya membawa masuk SUV pertama mereka, Aston Martin DBX ke pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bagi memastikan SUV ini bergerak sama pantas dengan ahli keluarganya, Aston Martin menyumbat enjin yang sama digunakan pada Vantage dan DB11, iaitu nadi AMG V8 berkapasiti 4.0 liter dibantu dengan induksi paksaan turbo berkembar menghasilkan 542 kuasa kuda dan 700 Nm daya kilas.

Kuasa tersebut membolehkan Aston Martin DBX memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 291 km/j.

 


Untuk memastikan kesemua roda mendapat kuasa dengan baik, Aston Martin DBX diberikan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan, dibantu dengan komponen active differential termasuklah diff tengah aktif dan LSD di bahagian gandar belakang.

Sistem gantungan Aston Martin DBX ini adalah menggunakan suspensi udara adaptif secara standard yang menggunakan sistem kawalan anti-oleng 48 voltan, dan sistem penyerap hentakan adaptif elektronik, membolehkan DBX ini duduk lebih rendah 50 mm atau ditinggikan 45 mm berbanding ketinggian asal (190 mm) bergantung kepada keperluan.

 


Dari segi luaran, Aston Martin DBX membawakan reka bentuk yang sleek, di mana menurut juruteranya, mereka memastikan jarak antara roda adalah semaksimum yang mungkin untuk menawarkan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Oleh sebab itu, dari jauh, Aston Martin DBX mampu memberikan ilusi sebagai sebuah kereta sports yang 'kecil' dan dalam masa yang sama menampakkan ia salah sebuah keluarga Aston Martin.

Tidak sah untuk sebuah Aston Martin tanpa garis bumbung yang rendah, diikuti dengan gril hadapan yang terpampang besar, lampu nyalaan siang pada penghujung bumper serta lampu utama berbentuk oval.

 


Di bahagian belakang, lampu utama mengambil inspirasi daripada model Vantage, sementara rekaan bumper pula sedikit agresif dengan kehadiran tip ekzos pada kiri dan kanan, serta pemasangan diffuser dan skirt sisi dalam warna hitam gelap.

Memasuki ruang kabin, Aston Martin mahu menjadikan DBX salah sebuah tempat yang khas untuk menghabiskan masa, justeru itu rekaan ruang tersebut turut diberikan penekanan.

Tempat duduk dibaluti dengan kulit diikuti dengan upholsteri Alcantara, kemasan panel pintu berwarna biru dan roda stereng balutan kulit yang datang dengan paddle shifter, manakala segala informasi dan hiburan (termasuk Apple CarPlay) boleh diakses menerusi skrin sentuh bersaiz 10.25 inci diikuti dengan skrin kluster digital 12.3 inci di hadapan pemandu.

 


Rekaan konsol tengah pula adalah jenis jambatan terapung yang menampilkan segala butang kawalan manakala ruang di bahagian bawah boleh digunakan untuk meletak barang seperti peranti pintar.

Mengakhiri ciri yang terdapat pada ruang kabin adalah kehadiran bumbung kaca panorama, sementara ruang kargo pula adalah sebesar 632 liter, dengan tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat nisbah 40:20:40 menjadikan SUV ini lebih praktikal untuk kegunaan seharian.

 

 

 

Tidak dilupakan, ciri keselamatan yang menyeluruh hadir bersama SUV Aston Martin DBX ini terdiri daripada:

  • Adaptive Cruise Control
  • Forward Collision Warning
  • Automatic Emergency Braking With Pedestrian Detection
  • Traffic Sign Recognition
  • Auto High Beam Assist
  • Blind Spot Warning
  • Lane Change Warning
  • Lane Departure Warning
  • Rear Cross Traffic Detection
  • Driver Attention Warning

Untuk pasaran Malaysia, Aston Martin DBX yang dipasang di kilang St. Athan dijual pada harga bermula dari RM818,000 tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai yang berkaitan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Dihadkan kepada tujuh unit setiap satu, barisan model SUV mewah yang dimaksudkan itu ialah: •…
Berita Global
Namun, perpindahan beliau ke sana bukannya murah, di mana pasukan Al-Hilal perlu membayar £78 juta…
Berita Global
Memperkenalkan, Aston Martin DBX707 2023, di mana ia kini menjadi SUV mewah paling berkuasa di…