Usah risau kerana anda sebenarnya masih lagi boleh memandu sebuah kereta Aston Martin DB5 meskipun ia dihasilkan dalam skala 2/3, bermakna ia adalah lebih kecil berbanding kereta yang sebenar digunakan dalam filem James Bond.
Aston Martin bekerjasama dengan The Little Car Company dan EON Productions untuk menghasilkan Aston Martin DB5 Junior 'No Time To Die' Edition berdasarkan kereta sebenar, dan versi yang diperkenalkan kali ini merupakan naik taraf daripada model DB5 Junior yang dilancarkan tahun lalu.
Baca: Aston Martin DB5 Junior
Meskipun kecil, namun ia masih lagi mampu memuatkan seorang dewasa duduk dan disebabkan itu juga kereta kecil ini tidak didatangkan dengan struktur bumbung kekal, dan juga roda stereng bersaiz 2/3 yang turut dilengkapi dengan sistem quick release.
Sudah pasti, ia juga turut dilengkapi dengan kelengkapan yang biasa digunakan untuk seorang spy, seperti contoh mesingan yang berselindung di sebalik unit lampu utama, butang untuk menukar nombor pendaftaran digital, tembakan asap yang keluar dari ekzos, serta beberapa 'telur easter' yang disembunyikan.
Trenkuasa elektrik yang dimuatkan membolehkan ia dipandu sejauh sehingga 129 km dan anda boleh memilih beberapa mod pemanduan - sama macam kereta EV yang sebenar.
Aston Martin DB5 Junior 'No Time To Die' ini turut didatangkan dengan beberapa jajan yang menarik, seperti contoh sistem gantungan spring gegelung dengan peredam Bilstein, serta sistem brek Brembo yang membuatkan orang dewasa amat terliur mendengarnya.
Hanya 125 unit Aston Martin DB5 Junior 'No Time To Die' yang akan dihasilkan dan setiap satunya cuma berharga £90,000 (RM513,874) sahaja.