PPj berkata, projek rintis itu adalah usaha pihaknya untuk mengetengahkan ART sebagai salah satu mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada.
Menurut PPj, dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan berkenaan iaitu laluan 1A yang akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat, bermula dari Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya Sentral menghala ke Lebuh Wawasan, Persiaran Perdana, Lingkaran Gemilang dan kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral.
Manakala, laluan kedua iaitu (laluan) 2B hanya beroperasi pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad dan akan turut bermula dari MRT Putrajaya Sentral ke Persiaran Perdana, kemudian menghala ke Lebuh Bestari, Persiaran Timur serta IOI Putrajaya sebelum kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral.
"Orang awam yang ingin menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Menurut PPj, sebanyak tiga perjalanan disediakan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
SUMBER : HarianMetro