Arrival Van - van panel berkuasa elektrik dengan jarak operasi mencecah 340 km

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pemula kenderaan elektrik Arrival baru-baru ini telah memperlihatkan sebuah van panel berkuasa elektrik - Arrival Van - yang direka sepenuhnya di pusat R&D Banbury dan bakal dibina di kilang baharu bertempat di UK.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Arrival Van ini akan memasuki fasa percubaan tahun ini dengan beberapa rakan perniagaan terpilih seperti UPS sebelum memasuki fasa produksi pada tahun 2022.

Difahamkan, fasiliti baharu yang bakal digunakan untuk memasang Arrival Van ini bakal mencipta sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan bertempat di Bicester, sebelum menambah 200 lagi tenaga pekerja dan memaksimumkan produksi tahunan kepada 10,000 unit.

Arrival Van bakal menjadi pesaing rapat kepada model-model van komersial elektrik seperti Fiat e-Ducato, dan dengan dimensi yang lebih besar berbanding model Vauxhall Vivaro-e dan Peugeot e-Expert.

 


Dari segi dimensi, Arrival Van bakal mempunyai had muatan maksimum 1,975 kg dan bergantung kepada jarak antara roda yang ditawarkan, van panel ini mampu memuatkan muatan kargo sehingga 14,600 liter.

Pek bateri Arrival Van ini menggunakan sistem modular yang memiliki kapasiti berjulat dari 67 kWh sehingga 133 kWh.

Versi asas 67 kWh menawarkan jarak sehingga 180 km untuk sekali cas, sementara model pertengahan 89 kWh dan 111 kWh masing-masing menawarkan jarak sehingga 240 km dan 290 km, dan model yang dilengkapi bateri 133 kWh pula mampu mencapai jarak operasi sejauh 340 km.

Tidak kira kapasiti bateri yang ditawarkan, setiap versi dilengkapi dengan sistem pengecasan DC 120 kW.

 


Tidak seperti pesaingnya, Arrival Van dibina dengan menggunakan platform elektrik khusus, di mana untuk memastikan berat van berada dalam keadaan minimum sesuai untuk memaksimumkan jarak operasi, casis diperbuat daripada aluminium sementara panel badan pula diperbuat daripada bahan komposit plastik yang ringan.

Menurut Arrival, inovasi bahan komposit plastik itu bertujuan untuk menurunkan kos pembaikan dan penggantian disebabkan panel tersebut lebih tahan kepada kesan calar dan lekukan jika dibandingkan dengan panel keluli.

Selain daripada itu, binaan Arrival Van juga tidak memerlukan proses kimpalan yang rumit, di mana proses pemasangan boleh dibuat dengan lebih cepat dan murah tanpa perlu melabur untuk membeli peralatan khusus yang lebih mahal.

 


Ruang kabin Arrival Van ini didatangkan dengan ciri seperti kawalan iklim, cermin pandang belakang digital, skrin tengah bersaiz 15.6 inci, serta ciri keselamatan terkini seperti brek kecemasan autonomi, sistem pemantauan titik buta dan bantuan pengekalan laluan.

Dari segi kuasa, versi aras mula Arrival Van dilengkapi dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan, dan mempunyai angka output sekitar 201 hp, sementara model yang lebih premium bakal mendapat motor elektrik tambahan pada gandar belakang.

 


Trenkuasa modular ini juga dikatakan bakal digunakan pada sebuah lagi model baharu bas elektrik - Arrival Bus - yang mampu menjana daya kilas sehingga 3,000 Nm, pek bateri 310.8 kWh dan dikatakan 40 peratus lebih ringan berbanding kebanyakan bas elektrik bateri di pasaran.

Arrival Bus ini dijangka tiba dalam tempoh 12 bulan akan datang.