Ares Project 1 bawakan elemen De Tomaso Pantera dan 641 kuasa kuda Huracan Evo!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Masih ingatkah anda dengan Ares Panther yang kami pernah siarkan - sebuah supercar yang dibina menggunakan asas Lamborghini Huracan dan mempunyai ciri lampu retractable?

Memperkenalkan, Ares Project 1 yang membawakan rekaan retro daripada De Tomaso Pantera dan 641 kuasa kuda!
 


Seperti yang disebutkan, Ares Project 1 mengekalkan asas daripada Huracan, termasuklah enjin 5.2 liter bentangan V10 Huracan Evo dengan kuasa 641 ekor kuda dan daya kilas setinggi 600 Nm. 

Kuasa ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan sebelum disalurkan kepada semua roda dengan pecutan sepantas 3.1 saat (0-100 km/j). 
 


Di peringkat pembangunan lagi, Ares telah mengarahkan para jurutera untuk meningkatkan respons pedal minyak selain menala kembali transmisi bagi menyalurkan kuasa dengan lebih berkesan. 

Manakala sistem ekzos juga turut ditala semula bagi memberikan alunan not yang unik. 
 


Bagi memberhentikan supercar dengan rim bersaiz 20 inci ini dengan berkesan tanpa pemandu berpeluh-peluh, Ares telah melengkapkannya dengan sistem brek seramik daripada Brembo. 

Ruangan dalaman pula menerima kemasan trim daripada Alcantara, balutan kulit serta elemen-elemen gentian karbon terima kasih kepada firma rekaan in-house Ares, Mihai Panatescu. 


Dengan 21 unit terhad yang dihasilkan dan hasil kerja yang sangat teliti, Ares Project 1 mempunyai tanda harga yang cukup tinggi, iaitu sekitar $697,000 (RM2.8 juta). 

Setelah Ares Project 1 siap, terdapat dua lagi projek yang bakal dilahirkan dibawah siri Legends Reborn iaitu roadster Project 2 yang diinspirasikan daripada Maserati A6GCS Spider dan Project 6 (diinspirasikan daripada Ferrari 412). 

Baca: Ares Pantera - supercar dengan lampu retractable