Aprilia RSV4 1100 Factory mendarat di Malaysia - harga dari RM159,900

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Didi Resources Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Aprilia di Malaysia telah rasmi melancarkan sebuah superbike bertaraf mercu, iaitu RSV4 1100 Factory. 

Dibangunkan berdasarkan model sedia ada RSV4, sesaran enjin bentangan V4 (bersudut 65 darjah) bagi RSV4 1100 Factory ini telah dinaikkan kepada 1,078 cc daripada 999.6 cc, terima kasih kepada peningkatan bore dari 78 mm kepada 81 mm. 
 


Dengan peningkatan ini, kuasa yang dihasilkan mampu menandingi 217 ekor kuda (pada putaran enjin 13,200 rpm) dengan daya kilas 122 Nm pada putaran enjin 11,000 rpm. 

Kuasa liar tersebut kemudian disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam nisbah kelajuan, dengan sistem klac basah berbilang cakera dan sistem slipper mekanikal. 
 


Bagi memberhentikan motosikal laju ini dengan mudah, Aprilia menggunakan sistem brek Brembo terdiri daripada angkup Brembo Stylema 4 piston dan cakera berkember 330 mm di hadapan, serta angkup terapung 2 piston dan cakera brek 220 mm tunggal, selain dilengkapi dengan sistem ABS Bosch 9.1 MP

Sistem ABS Bosch itu tadi turut hadir dengan fungsi cornering yang mampu dikombinasikan dengan mana-mana mod tunggangan (Sport, Track dan Race). 

Pengendalian superbike ini dikendalikan oleh sistem suspensi Ohlins NIX di hadapan dan monoshock Ohlins TTX dengan aluminium swing-arm di belakang, di mana masing-masing mampu membenarkan jarak pergerakan sejauh 125 mm dan 120 mm. 
 


Sebagaimana superbike yang moden dan laju, Aprilia RSV4 1100 Factory didatangkan dengan ciri Aprilia Performance Ride Control (APRC) System yang meliputi:

  • Traction Control
  • Wheelie Control
  • Launch Control
  • Cruise Control
  • Pit Limiter
  • Speed Limiter

Untuk memastikan kuasa tersebut disalurkan ke jalan raya dan litar lumba dengan baik, RSV4 1100 Factory ini dilengkapi dengan tayar jenis radial tanpa tiub bersaiz 120/70 ZR 17 di hadapan dan 200/55 ZR 17 di bahagian belakang. 

Panel instrumen TFT berwarna menghiasi ruang kokpit dan menawarkan dua paparan berbeza iaitu Road dan Race. 
 


Selain daripada itu, APRILIA MIA merupakan opsyen kepada pembeli yang menawarkan kawalan kepada kalibrasi data tunggangan serta sistem infotainmen menerusi ciri arahan suara, yang pertama seumpamanya untuk RSV4. 

Untuk pasaran Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd menawarkan Aprilia RSV4 1100 Factory dengan layangan warna black matt diselangi grafik Atomico 6 pada harga bermula dari RM159,900 (atas jalan tanpa insurans) dan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan. 

Bagi kumpulan pertama yang berjaya mendapatkan unit masing-masing, pihak Aprilia Malaysia akan turut melengkapkan aksesori corong udara untuk angkup brek hadapan secara percuma bernilai RM4,000. 

 


Antara aksesori yang ditawarkan termasuklah sistem ekzos Akrapovic, ECU enjin, komponen aerodinamik gentian karbon (fairing, mudguard, heel guard), corong udara brek hadapan, dan senarai yang sangat panjang. 

Selain daripada itu, model baharu Tuono V4 Factory juga turut diperkenalkan pada harga bermula RM119,000.

 


Spesifikasi:

Aprilia RSV4 1100 Factory
Enjin V4 65o, sejukan cecair DOHC
Sesaran 1,078 cc
Kuasa 217 kuasa kuda, daya kilas 122 Nm @ 11,000 rpm
Transmisi manual enam nisbah kelajuan, slipper mekanikal, klac basah berbilang cakera
Mod tunggangan Sport, Race dan Track
Aprilia Performance Ride Control (APRC) System (terdiri daripada Traction Control, Wheelie Control, Launch Control, Cruise Control, Speed Limiter)
Suspensi hadapan Fork Ohlins NIX
Suspensi belakang monoshock Ohlins TTX
Casis aluminium dual beam
Brek Brembo, dengan ciri ABS Bosch 9.1 MP, fungsi cornering
Rim aloi 17 inci. 
Kapasiti tangki bahan api 18.5 liter termasuk tangki simpanan 4 liter,
Kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
MotoPlex Sungai Buloh diuruskan oleh Welly Sungai Buloh Sdn Bhd, pengedar rasmi yang dilantik oleh…
Gaya Hidup
Cawangan di Johor Bahru itu merupakan MotoPlex kedua yang diuruskan oleh Goh Brothers Motorcycles…
Berita Domestik
Pusat 3S baharu itu menampilkan ruangan pameran yang menawarkan barisan model Aprilia dan Vespa…