Apollo RT6 - Minivan swapandu Tahap 4 oleh Baidu, tanpa stereng!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat gergasi China Baidu baru-baru ini memperlihatkan teknologi kenderaan swapandu generasi baharu menerusi model Apollo RT6.

Mungkin nampak sekali imbas macam sebuah van tradisional, namun Apollo RT6 mampu menawarkan keupayaan pemanduan tanpa pemandu, dibantu dengan rekaan stereng yang boleh disimpan bagi memberikan ruang yang lebih luas untuk memuatkan kelengkapan seperti meja kerja atau mesin air layan diri.
 

Apollo


Rekaan bumbung dengan elemen huruf X itu sebenarnya menyembunyikan gugusan lapan penderia LiDAR dan 12 kamera yang diperlukan untuk tujuan pemanduan autonomi.

Menurut Baidu, secara keseluruhan Apollo RT6 mempunyai sehingga 38 unit pendera yang mampu untuk melakukan pengesanan jarak jauh yang tepat pada semua sisi kenderaan.

 

Apollo


Dengan jumlah jarak ujian menghampiri 32 juta km, presiden Baidu Zhenyu Li menjelaskan keupayaan pemanduan Apollo RT6 ini adalah setanding dengan seorang manusia yang mempunyai pengalaman pemanduan 20 tahun.

Berbanding kenderaan terdahulu yang memerlukan sistem swapandu dipasang secara retrofit, Apollo RT6 dibangunkan menggunakan platform khusus E/E untuk menjadi sebuah kereta autonomi tulen.
 

Apollo


Disebalik teknologi yang dimuatkan, kos untuk satu unit Apollo RT6 adalah sekitar RMB 250,000 sahaja (RM164,829) yang menjadikan ia satu teknologi swapandu yang mampu dicapai oleh semua pihak.

Menurut Robin Li selaku pengasas bersama dan CEO Baidu berkata, "pengurangan kos yang besar ini membolehkan kami melancarkan sehingga 10 ribu unit kenderaan autonomi di seluruh China. Kita sedang bergerak ke arah masa depan di mana menggunakan robotaxi adalah lebih murah berbanding kos teksi konvensional.

 


Apollo RT6 akan berkhidmat di bawah syarikat seru-pandu Apollo Go yang juga pengendali perkhidmatan robotaxi bermula tahun depan.