APAD gantung lesen bas Starmart Express, TRA Xpress

oleh Penyumbang Rencana|
gambar kemalangan yang melibatkan kedua-dua bas ekspres tersebut
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan untuk menggantung lesen pengendali dua syarikat bas ekspres iaitu SV Juta Sdn Bhd dan Kejora Masyhur Sdn Bhd yang terlibat dalam dua kemalangan pada pertengahan Mei lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan berkata, masing-masing yang mengendalikan bas ekspres Starmart Express dan TRA Xpress digantung lesen kerana tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang ditetapkan.

Menurut MOT, tindakan pergantungan lesen pengendali dua syarikat tersebut berkuat kuasa mulai 12 Jun depan.

“Syarikat SV Juta Sdn Bhd digantung selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

“Syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti mana senarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada Isnin.

Pada 12 Mei lepas, bas Starmart Express telah berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.

Sementara, pada 13 Mei pula, bas TRA Xpress telah berlanggar dengan dua buah lori di Kilometer 257.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

MOT menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam masa sama, MOT memaklumkan, hasil semakan yang dilakukan turut mendapati kedua-dua syarikat itu turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Ditegaskan bahawa sepanjang tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” kata MOT.

Tambah kementerian itu, dalam usaha memastikan aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan, pihaknya akan mengarahkan agensi-agensi di bawah kementerian untuk menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.

“Kementerian berharap tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” ujarnya.

 

Astro Awani

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Hasbullah, sistem HS WIM itu boleh beroperasi…
Berita Domestik
Namun, pemenang lesen bagi kad orang kelainan upaya (OKU) masih tertakluk syarat ditetapkan Jabatan…
Berita Domestik
Walaubagaimanapun, MOT akan sentiasa menyemak dan menambah baik kaedah-kaedah berkaitan…