APAD arah Rapid Rail Sdn Bhd lakukan pembaikan segera di lokasi kemalangan LRT Kelana Jaya

oleh Mohamad Hanif|
Hasil dapatan awal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati terdapat beberapa pembaikan segera yang perlu dilakukan di lokasi pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.

Menurut laporan daripada Berita Harian, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, ia antara hasil dapatan awal yang dilakukan bersama 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel APAD awal pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran (patah di bahagian tapak). Ia perlu diambil tindakan pembaikan segera.

"Selain itu, tiga klip rel tidak dipasang pada bahagian rel iaitu satu klip di lim rel 1445 dan dua klip di lim rel 1444. Susulan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB) sudah memasang klip rel itu serta-merta," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

APAD juga telah mengarahkan RRSB untuk menggantikan kabel pengesan kebakaran yang rosak di segmen terowong 126 sehingga terowong 96 sepanjang kira-kira 28.5 meter.

"Ini untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC hingga Stesen Kampung Baru.

"Pihak RRSB memaklumkan kerja penggantian akan dilakukan segera. Ini komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT," katanya.

Beliau berkata, turut dilakukan pengujian rollover tren bermula jam 3.08 pagi dan pemerhatian mendapati simulasi pergerakan tren berada dalam keadaan baik.

"Sebagai rumusan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih mengikut pelan alternatif seperti dihuraikan semalam kerana bagi seksyen terbabit dalam pelanggaran tren, hanya satu landasan digunakan.

"Pasukan pemeriksaan APAD menyempurnakan misi mereka pada jam 4.30 pagi tadi sebelum perkhidmatan LRT bermula jam 6 pagi," katanya.

Ka Siong berkata, pemeriksaan semula akan dilakukan APAD sebaik kerja pembaikan dan pemasangan disyaratkan dilaksanakan pihak RRSB.

"APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada RRSB," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Rapid KL berkata pihaknya mengambil serius insiden yang…
Berita Domestik
Menurut Menterinya Wee Ka Siong kabinet telah dimaklumkan mengenai rentetan peristiwa yang…
Berita Domestik
Menurut laporan daripada Bernama, laporan itu akan merangkumi cadangan-cadangan ke arah menambah…