Apa yang tersirat pada Proton Iriz, Persona 2021?

oleh Mohamad Hanif|
Awal bulan yang lalu, Proton secara rasmi melancarkan kemaskini penawaran terhadap kembar sedan Proton Persona dan hatchback Proton Iriz untuk model tahun 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara tersuratnya, kedua-dua model tersebut memang nampak cantik dari segi paras rupa serta penampilan ruang kabin serba baharu, namun apakah perubahan prestasi tersirat yang terdapat pada Iriz/Persona 2022?

Baca: Proton Iriz, Persona 2022

Dalam satu temubual yang diadakan menerusi Microsoft Team, kami cuba mendapatkan informasi lanjut daripada Adzrai Aziz bin Ibrahim selaku eksekutif daripada bahagian pembangunan Iriz dan Persona.
 

Iriz


Menurut Adzrai, untuk model Iriz dan Persona 2022, terdapat 200 komponen baharu dibangunkan secara spesifik untuk model baharu ini, di mana 158 daripadanya untuk model Iriz dan Persona, dan 42 komponen baharu dikhususkan untuk Iriz Active.

Selain daripada penampilan yang lebih malar segar, terdapat beberapa penambahbaikan yang dibuat terhadap prestasi kedua-dua model ini.

Salah satu daripadanya adalah penjimatan bahan api, di mana menurut beliau Iriz dan Persona 2022 lebih jimat 12 peratus penggunaan bahan api di dalam mod pemanduan normal, dan penjimatan tambahan sehingga 10 peratus dalam mod ECO.

Atau dalam angka yang mudah difahami:

  • Iriz 2022 - 7.0 liter/100 km (Iriz 1.6 liter) atau 6.7 liter/100 km (Iriz 1.3 liter)
  • Persona 2022 - 6.6 liter/100 km

Ia merupakan satu pencapaian yang positif berbanding angka 7.5 liter/100 km untuk model tahun 2019, namun ia bukanlah angka yang cukup bagus sekiranya dibandingkan dengan pesaing di dalam segmennya.
 

IRiz


Apa yang dilakukan oleh Proton adalah menaik taraf perisian, termasuklah mod ECO itu tadi, mod SAT (Stepped Auto Mode) dan ciri Neutral Idle Control (NIC) di mana klac akan 'dilepaskan' secara automatik bagi mengurangkan beban terutama di dalam kesesakan trafik.

Kesemua ciri ini menyumbang kepada penjimatan bahan api, kadar pecutan yang lebih lancar, serta kadar NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) juga turut ditambah baik.

Aspek NVH turut diberikan penekanan tambahan seperti pengurangan gegaran terhadap lantai dan stereng, serta kadar kebisingan angin yang menerjah masuk ke ruang kabin telah berjaya dikurangkan.

Bagaimana pula dengan aspek keselamatan?
 

Persona


Salah satu aspek yang selalu dikaitkan dengan Proton adalah ciri keselamatan, di mana suatu ketika dahulu Proton merupakan antara pelopor sistem keselamatan yang cukup lengkap di dalam kelasnya.

Namun, itu cerita lama, di mana pada ketika ini sistem keselamatan telah pun berevolusi dengan pelbagai jenis ciri yang berupaya menjadikan pemanduan yang lebih selamat.

Untuk Iriz dan Persona 2022, Proton telah menambah beberapa ciri seperti peringatan tali pinggang keledar untuk penumpang belakang (SBR), serta pemasangan beg udara sisi secara standard untuk semua varian.

Ketika ditanya berkenaan ketiadaan ciri yang lebih sofistikated seperti ADAS, jawapan yang diterima adalah kos, dan ketika menjawab persoalan yang lebih kurang serupa, Proton ada juga merancang untuk membawakan penambahbaikan ciri keselamatan seperti amaran lintasan belakang dan sistem pemantauan titik buta.

Nampaknya ciri yang telah ada pada model pesaing masih lagi belum wujud untuk Iriz dan Persona 2022, membuatkan penulis merasa sedikit kecewa sebenarnya.

Namun menurut Adzrai lagi, Proton kini sedang meneliti cara yang paling menjimatkan kos dalam usaha untuk membawakan ciri-ciri tersebut pada kemaskini akan datang seperti contoh pada model facelift atau model serba baharu.

 

Soalan Bonus: Kenapa Iriz dan Persona 2022 tiada versi manual?

Iriz 1.6 MT


Ya, seperti yang anda semua maklum, Proton Iriz dan Persona 2022 kini sudah tidak didatangkan dengan transmisi manual lima kelajuan seperti yang ditawarkan pada model terdahulu. 

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya sudah pun dijangka lebih awal - pengguna kereta bertransmisi manual semakin berkurangan saban tahun, bukan sahaja di peringkat global malah juga di pasaran Malaysia itu sendiri!

Menurut keterangan daripada Adzrai, daripada jumlah keseluruhan Proton Iriz dan Persona yang telah terjual sebelum ini, model bertransmisi manual hanyalah merangkumi sekitar tiga peratus sahaja di mana selebihnya merupakan golongan yang 'sayang kaki kiri'.

Jadi, mengikut perspektif perniagaan, adalah tidak menguntungkan untuk Proton terus menghasilkan model bertransmisi manual yang makin berkurangan, dan lebih baik tumpuan diberikan kepada model pilihan ramai.

Selepas Iriz dan Persona versi manual dihentikan pengeluaran, apakah pilihan model Proton bertransmisi manual yang ada pada ketika ini?

Proton Saga.