Apa Stellantis buat di Gurun dan kenapa Malaysia?

oleh HEZERI SAMSURI|
Stellantis, syarikat antarabangsa yang menjadi induk kepada 14 jenama automotif dunia diketahui sudah mengambil alih sepenuhnya kilang pemasangan kenderaan Naza di Gurun, Kedah pada penghujung tahun 2021.

Jenama-jenama automotif di bawah Stellantis sekarang adalah Abarth, Alfa Romeo, Chrysler, Citroën, Dodge, DS, Fiat, Jeep, Lancia, Maserati, Opel, Peugeot, Ram dan Vauxhall. 

Ia mempunyai lebih dari 272,000 pekerja dan berada di dalam pasaran lebih dari 130 negara di seluruh dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk pasaran Malaysia, kumpulan itu sekarang diwakili oleh Peugeot sahaja dan bulan November lalu, ia mengumumkan akan mengambil alih produk-produk mereka dari Bermaz dan memutuskan akan terlibat secara langsung di dalam negara.

Ini bermakna Stellantis akan memasang, memasarkan dan menjual produk-produk mereka sendiri, seperti apa yang dilakukan oleh Honda, Mitsubishi dan sebagainya.

Stellantis juga telah mengumumkan bahawa ia akan kembali menawarkan jenama Citroën dan Jeep untuk menyertai Peugeot dalam pasaran automotif tempatan.

Careta sempat mewawancara Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi untuk Pengedar-Pengedar Steallantis bagi cawangan Asean dan kawasan umum rantau ini di pejabat Stellantis di Petaling Jaya.

Berusia 42 tahun dan berasal dari Venezuela, ayah kepada dua anak lelaki itu kini menetap di Malaysia bersama keluarganya.

 

 

"Anak-anak saya baru kenal apa itu roti canai dan mereka cukup suka dengan makanan tempatan itu," ujarnya yang juga gemar bercuti di Malaysia. Antara destinasi pilihan keluarganya ialah Langkawi dan Pulau Redang.

Walaupun boleh dikatakan masih muda untuk memegang jawatan sepenting itu, Daniel sebenarnya mempunyai pengalaman yang cukup lama dengan Stellantis.

Bermula dari bulan Mac 2008 dengan Chrysler di Venezuela sebagai seorang akauntan, Daniel terbabit secara langsung semasa "penceraian" Chrysler dan Mercedes-Benz.

Kerjaya beliau kemudian membawanya ke Brazil di bawah Fiat-Chrysler dan dalam tahun 2016, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (US) untuk memikul tanggung-jawab membawa jenama Jeep ke seluruh dunia.

Di US, cinta beliau kepada kenderaan 4X4 mula berputik di mana beliau memandu sebuah Jeep Wrangler merah. Minat beliau kepada 4X4 dan trak pikap masih menebal sehingga ke hari ini.

Selain dari Jeep, Daniel juga terbabit dengan Ram, Dodge, Alfa Romeo dan pelbagai jenama Stellantis yang lain di negara Uncle Sam itu.

Tugasan pertama beliau di Asia bermula di India dalam tahun 2022 sebagai Ketua Pegawai Kewangan untuk Stellantis India dan Asia Pasifik.

Selepas itu beliau berpindah ke Malaysia dan Daniel menggunakan kesemua pengalamannya untuk membawa nama-nama jenama Stellantis kembali ke persada automotif utama negara.

 

 

Kenapa pilih Malaysia? 

"Kami mengambil keputusan untuk memilih Malaysia berdasarkan apa yang telah kami laburkan di sini.

Pada masa itu, kami sudahpun memiliki 70 peratus dari usahasama dengan Naza. Gurun juga sudah memiliki pasukan yang berpengalaman dengan Stellantis dan ini menjadikan usaha dan perancangan kami lebih mudah," terang beliau.

Apa ada di Stellantis Gurun? 

Kilang Stellantis di Gurun mampu memasang 16,000 unit kenderaan setahun.

Selain dari memasang kenderaan, Stellantis juga mempunyai unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di sana.

"Pusat R&D Stellantis untuk Asia sebenarnya berpengkalan di India tetapi di Gurun, ia juga mempunyai satu unit untuk melakukan ujian-ujian," kata Daniel.

Beliau turut berkata ada ujian-ujian yang lebih sesuai dilakukan di Malaysia untuk rantau Asean.

Selain dari itu, kajian pasaran kenderaan juga menjadi antara fokus pejabat mereka di Malaysia.

 

 

Malaysia sebagai hab Asean? 

Daniel sebelum ini pernah berkongsi perancangan Stellantis di mana syarikat itu telah melabur lebih dari RM2 bilion untuk platform STLA Medium.

STLA Medium ialah platform global khusus untuk kenderaan BEV (Battery Electric Vehicle) dengan teknologi yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 700 km.

"Produk-produk EV dengan platform STLA Medium akan diperkenalkan di Asean dan ini akan membuka peluang perniagaan kepada pengeluar komponen Asean, termasuk dari Malaysia sendiri," tambahnya.

Pengeluar komponen Asean dijangka akan membekalkan komponen-komponen untuk Stellantis bernilai lebih dari RM5 bilion selama tempoh empat tahun.

"Komponen Asean untuk produk-produk terbaharu ini mampu mencecah antara 70 ke 80 peratus," terang Daniel.

Contoh-contoh yang disebut ialah kemungkinan seperti bateri akan datang dari Indonesia, tayar dari Thailand dan komponen elektronik dari Malaysia.

"Setiap negara di dalam rantau Asean ini mempunyai kepakaran mereka sendiri dan ada produk-produk Stellantis akan dieksport dari Malaysia," sambungnya.

 

 

Produk akan datang Stellantis di Malaysia?

Careta juga sempat bertanyakan apakah produk-produk Stellantis yang bakal ditawarkan di Malaysia.

Menurut Daniel, ada beberapa jenama yang akan muncul kembali di Malaysia.

"Perlu difahamkan kedudukan jenama-jenama kami di Malaysia. Contohnya, Peugeot adalah jenama yang lebih premium dari Citroën.

Selain dari itu, jenama premium lain yang sesuai untuk Malaysia ialah Jeep dan juga Alfa Romeo," terang Daniel.

"Ada produk-produk yang juga dijenamakan semula, seperti trak pikap Ram Rampage dan Fiat Toro.

Jika produk itu sesuai, ia akan diperkenalkan di sini. Dalam masa yang sama, kami lihat ada produk-produk dari Citroën, Jeep dan Alfa Romeo yang memang sesuai untuk Malaysia," kata Daniel tanpa mahu memberi apa-apa petanda konkrit bila jenama-jenama itu akan muncul kembali di sini.

Sebelum wawancara bermula, Careta juga sempat melihat Peugeot e2008, SUV elektrik yang bakal dipasang dan dijual di Malaysia tahun hadapan.

 

 

Tapi produk Stellantis seperti tak sesuai untuk Malaysia? 

Daniel mengakui masalah tersebut dan beliau sebenarnya telah membuat kajian mendalam dalam isu itu.

"Untuk trak pikap Peugeot Landtrek, saya mengaku ia mempunyai kekurangan dan untuk tahun hadapan, akan ada perubahan untuk model tersebut."

Daniel berkata Landtrek akan menerima penalaan sistem gantungan baharu yang lebih sesuai untuk kegunaan di Malaysia dan juga aksesori-aksesori yang lebih relevan.

"Landtrek juga bakal dipasang di Malaysia dan ini akan memudahkan kami melakukan perubahan mengikut kehendak pasaran tempatan," ujarnya lagi.

"Dari segi tahan lasak, Landtrek tidak mempunyai masalah itu. Malah di Tunisia contohnya, Landrek lebih banyak terjual berbanding dengan Toyota Hilux dan ia digunakan secara meluas oleh agensi seperti polis."

Tunisia ialah sebuah negara republik Islam di utara benua Afrika dan mempunyai kawasan padang pasir yang luas. Jenama kenderaan nombor satu di sana ialah Hyundai, Kia, Toyota dan ditempat keempat ialah Peugeot.

Daniel juga menambah bahawa ada kalanya produk-produk yang dijual tidak sesuai dengan pasaran tempatan.

"Ketika Jeep berada di Malaysia dahulu, kami sedar ada model-model yang ditawarkan tidak setanding dengan pesaing kami dari segi kelengkapan dan prestasi.

Ia adalah satu kesilapan yang tidak akan berulang lagi," ujar peminat tegar Jeep itu.

 

 

Jenama Eropah tak lasak untuk cuaca Malaysia?

Daniel juga akur mengenai masalah imej akan jenama-jenama Stellantis di Malaysia.

"Produk-produk yang sama dijual di banyak negara lain tetapi tidak menimbulkan isu," jawab Daniel bila diajukan soalan tersebut.

"Dari apa yang saya lihat, memang kadar kelembapan (humidity) di Malaysia sangat berbeza dengan negara-negara lain.

Untuk itu, pusat R&D di Malaysia digunakan untuk mengkaji lebih dalam akan ketahanan komponen-komponen kami dalam cuaca dan situasi penggunaan di sini," sambungnya.

Beliau terus menerangkan bahawa kelasakan kenderaan memang menjadi satu isu penting kepada beliau.

"Saya berasal dari Venezuela dan negara-negara Amerika Latin memang mementingkan kelasakan kenderaan. Namun begitu, jenama-jenama Eropah seperti Fiat tidak mempunyai isu yang besar dalam masalah itu.

Malah, jenama-jenama Eropah jauh lebih popular. Tetapi apa yang berbeza di Malaysia ialah faktor khidmat lepas jualan yang tidak sekuat di sana," Daniel berkata.

"Stellantis akan memastikan khidmat lepas jualan yang lebih menyeluruh dan lebih lengkap di sini. Kami ambil serius dalam perkembangan sektor ini kerana jatuh bangkit sesebuah jenama ialah khidmat lepas jualan," ujar Daniel sebelum terpaksa mengundur diri.

 

 

Mempunyai pemilik itu sendiri hadir di dalam pasaran adalah antara salah satu punca jenama automotif itu untuk berjaya. Di Malaysia, kita bermula dengan pengimport-pengimport rasmi yang kemudiannya diganti atau bekerjasama dengan syarikat induk itu sendiri.

Antaranya ialah Daihatsu, Honda, Toyota, Mercedes-Benz dan BMW di mana jenama-jenama itu kini terus memegang kuat pasaran kenderaan negara.

Stellantis, dengan barisan produk-produk yang global, pastinya tidak mahu berdiam diri melihat jenama-jenama lain masuk ke pasaran Asean yang terbukti antara pasaran automotif kukuh dan kehadiran mereka di Malaysia, bukan hanya sebagai pengimport dan penjual, tetapi menjadi pemasang dan mewujudkan unit R&D, perlu diterima baik oleh semua.

Selain dari menjana pendapatan untuk negara, Stellantis juga akan menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan Careta merasakan dalam masa yang terdekat, Stellantis juga akan bersetuju bahawa unit R&D di India tidak mempunyai kemahiran seperti di pakar-pakar di Asean.

Ini ialah kerana produk-produk yang dijual di sini, terutama di Malaysia, Thailand dan Singapura, jauh lebih canggih dan lebih berkualiti tinggi dari di sana. Satu lagi bukti kukuh ialah jenama-jenama dunia dari Jepun terutamanya menjadikan Asean sebagai bukan setakat hab, tetapi pusat R&D bertaraf global untuk produk-produk khusus untuk Asean dan juga untuk dunia.

Di bawah ialah video pandu uji Careta untuk trak pikap Peugeot Landtrek.