Apa khabar kereta dengan gas? Ini Nissan Magnite CNG baharu di India!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Magnite CNG
Nissan Magnite CNG
Penggunaan kenderaan berkuasa tenaga gas asli atau NGV pernah menjadi fenomena di Malaysia, terutamanya dalam sektor pengangkutan awam seperti teksi.

Kenderaan ini menawarkan alternatif bahan api yang lebih jimat dan pada masa itu, dianggap lebih mesra alam.

Malah, Proton sendiri pernah meneroka pasaran ini dengan menjual Proton Persona dengan pilihan CNG (gas asli termampat) di Thailand dan model GEN•2 ecoLogic berkuasa LPG (gas petroleum cecair) di United Kingdom.

Namun, di Malaysia, era NGV sedang melabuhkan tirainya. Bekalan runcit dan pendaftaran kenderaan NGV akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Julai 2025.

Keputusan ini diambil atas dasar keselamatan, terutamanya melibatkan jangka hayat tangki gas dan isu pengubahsuaian yang tidak sah.

Meskipun landskap NGV di Malaysia berubah, inovasi dalam teknologi ini masih terus berkembang di tempat lain.

Nissan Magnite Baharu: Pilihan CNG untuk Pasaran India

Berita ini datang dari India, di mana Nissan Motor mengumumkan bahawa SUV Nissan Magnite kini boleh didapati dengan kit pengubahsuaian CNG yang mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kerajaan.

Kit CNG ini merupakan hasil pembangunan, pengeluaran, dan jaminan kualiti sepenuhnya oleh Motozen (pihak ketiga) yang mematuhi piawaian kawal selia negara tersebut.

Sebagai jaminan tambahan, Motozen akan menyediakan waranti untuk komponen kit ini.

Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen Nissan dalam menyediakan penyelesaian yang berpusatkan pelanggan.

Untuk memastikan keselamatan dan kualiti, semua pemasangan kit ini akan dijalankan di pusat-pusat pemasangan yang sah dan diluluskan oleh kerajaan.

Apa yang menarik, pakej pengubahsuaian lengkap ini ditawarkan pada harga tambahan yang sangat kompetitif, iaitu INR 74,999 (RM3,721.46).

Poster promosi juga menunjukkan bahawa harga Magnite CNG bermula dari ₹6.89 Lakh (RM34,220.14).

Nissan menawarkan waranti selama 3 tahun atau 1 Lakh (100,000) kilometer untuk kenderaan ini.

Sasaran Pelanggan dan Pelancaran Berperingkat

Pelancaran kit CNG yang mesra alam ini, khusus untuk pelanggan yang mementingkan kelestarian dan alam sekitar, akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh India.

Dalam fasa pertama, pelanggan Nissan di tujuh negeri utama, iaitu Delhi-NCR, Haryana, Uttar Pradesh, Maharashtra, Gujarat, Kerala, dan Karnataka, sudah boleh membuat tempahan untuk pemasangan kit CNG ini melalui pengedar sah Nissan.

Pelan jangka panjangnya, kit ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara sebagai sebahagian daripada Fasa 2.

Hanya untuk Enjin 1.0L Naturally Aspirated Manual

Penting untuk diambil perhatian bahawa pilihan kit CNG ini hanya tersedia untuk Nissan Magnite yang dilengkapi dengan enjin petrol 1.0 liter aspirasi semula jadi (bukan turbo) dan transmisi manual.

Pelanggan yang memilih kit CNG ini dijangka akan menikmati penjimatan bahan api yang lebih baik.

Kesemua kit CNG akan dipasang oleh vendor yang diluluskan kerajaan, memastikan kit yang dihomologasi ini mematuhi semua peraturan tempatan dan piawaian keselamatan semasa.

Spesifikasi Enjin N/A Magnite

  • Jenis Enjin: 1.0L Petrol
  • Sesaran (cc): 999
  • Kuasa Maksimum (PS @rpm): 72 @ 6250
  • Tork Maksimum (Nm @rpm): 96 @ 3400-3600

Nissan Magnite: SUV Kompak yang Menarik

Nissan Magnite kekal menonjol dalam segmen SUV kompak dengan reka bentuknya yang berani dan bergaya, lebih 20 ciri pertama dan terbaik dalam segmennya, serta lebih 55 ciri keselamatan.

Dengan kehadirannya yang menonjol di jalan raya, ciri-ciri premium, dan jangkauan global yang semakin meluas, Nissan Magnite telah menembusi lebih 65 negara, merangkumi kedua-dua pasaran pemanduan kanan dan pemanduan kiri.

Langkah Nissan Motor India ini menunjukkan bagaimana teknologi bahan api alternatif terus menjadi relevan di sesetengah pasaran, menawarkan pilihan yang lebih jimat dan mesra alam kepada pengguna, walaupun dengan pendekatan dan peraturan yang berbeza mengikut negara.

Bagi pengguna di India, ini pastinya satu pilihan yang menarik untuk dipertimbangkan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin